
Kerajaan kaji akta khusus untuk AI
Kerajaan masih meneliti keperluan menggubal akta khusus bagi mengawal selia dan melesenkan penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI) susulan kebimbangan terhadap penyalahgunaan teknologi itu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata meskipun tiada akta khusus ketika ini, kerajaan tidak menolak kemungkinan pelesenan aplikasi AI pada masa hadapan.
“Bagi isu melibatkan kecerdasan buatan (AI), pada masa ini kesalahan tertumpu kepada penghantaran serta penyalahgunaan kemudahan dan perkhidmatan rangkaian, khususnya penggunaan rangkaian untuk menyebarkan kandungan bersifat jelek melampau.
“Buat masa ini, perkara berkenaan diserahkan kepada Kementerian Digital untuk mempertimbangkan penggubalan akta khusus bagi mengawal selia penggunaan aplikasi kecerdasan buatan,” katanya pada sidang media Hari Keselamatan Internet 2026 (HKI) di Taman Tasik Titiwangsa, pada Ahad.
Menurut beliau, fokus kerajaan buat masa ini adalah mengambil tindakan terhadap pihak yang menyalahgunakan kemudahan rangkaian untuk menghantar kandungan melampau, termasuk bahan penderaan seksual kanak-kanak atau Child Sexual Abuse Material (CSAM).
“Kesalahan melibatkan penghantaran dan penyalahgunaan rangkaian untuk kandungan jelek melampau adalah kesalahan boleh tangkap dan tindakan boleh diambil di bawah undang-undang sedia ada,” tegasnya.
Beliau menjelaskan, pindaan undang-undang yang dilaksanakan sebelum ini membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap individu terlibat, termasuk penggunaan teknologi AI bagi tujuan yang melanggar undang-undang.
Dalam masa sama, Datuk Fahmi menegaskan, sebarang keputusan berhubung pelesenan aplikasi AI akan mengambil kira dapatan serta saranan daripada badan penguatkuasaan sebelum tindakan sewajarnya dilaksanakan.
“Kita sedang meneliti, termasuk sekiranya perlu, ada dapatan atau saranan daripada badan penguatkuasaan untuk melesenkan aplikasi-aplikasi AI. Maka, kita akan teliti dan ambil tindakan yang sewajarnya,” ujarnya.
Sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyekat sementara akses pengguna di negara ini kepada platform AI, Grok, susulan penyalahgunaan aplikasi tersebut berulang kali untuk menjana kandungan lucah, seksual eksplisit, kandungan tidak senonoh yang jelik melampau serta imej manipulasi tanpa persetujuan.-9/2/2026



