FOKUS

NSRC beroperasi 24 jam… bantu mangsa scammer henti aliran wang

Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) kini berkeupayaan untuk beroperasi selama 24 jam susulan daripada beberapa suntikan yang diberikan oleh kerajaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, susulan daripada itu, mana-mana pihak yang menjadi mangsa penipuan atau scammer boleh menghubungi NSRC menerusi talian 997.

“Dengan pembukaan pejabat baru NSRC dan penambahan anggota, pusat berkenaan kini boleh menerima panggilan 24 jam. Sekiranya anda menjadi mangsa penipuan, segera telefon 997.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din ketika hadir ke Majlis Pelancaran Kempen Internet Selamat 2026 Sempena Keselamatan Internet 2026 di Taman Tasik Titiwangsa, hari ini.

“Laporan kepada NSRC dalam masa 30 minit akan membolehkan pihak berkuasa berusaha menahan aliran keluar wang dan kembalikan duit anda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sambutan Hari Keselamatan Internet dan pelancaran Kempen Internet Selamat 2026, pada Ahad.

Yang turut hadir Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Beliau pada masa sama terus mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati ketika mengendalikan internet, hal ini kerana pelbagai helah digunakan oleh scammer kini untuk menipu.

Sementara itu, Fahmi menjelaskan Kempen Internet Selamat wujud hasil daripada kesedaran dan rasa ambil berat tinggi beliau untuk tidak meninggalkan legasi yang memberi kesan tidak baik kepada keselamatan awam.

Katanya, sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga sistem komunikasi, negara ketika ini menyaksikan capaian internet semakin meluas dengan harga yang dikenakan berpatutan.

Namun begitu, ujar beliau, itu sahaja tidak cukup kerana apa yang paling penting adalah mewujudkan rasa selamat dalam kalangan pengguna.

“Sebagai seorang muslim saya tahu di akhirat nanti Allah SWT akan bertanya Fahmi semasa kamu berkuasa apa yang kamu buat?

“Saya tidak mahu meninggalkan satu legasi di mana internetnya laju, internetnya murah tapi internetnya tidak selamat.

“Saya tidak mahu tinggalkan satu legasi ya kita sudah ada capaian internet sampai ke pedalaman tapi seolah-olah membina satu highway bagi penjenayah untuk mengganggu keselamatan, ketenteraman dan juga rasa selamat,” katanya.

Pada masa sama, Fahmi menyifatkan keputusan untuk meminda Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bagi memperkukuh isu keselamatan internet sebagai sukar.

Beliau juga menegaskan tindakan meminda undang-undang bukan untuk menafikan hak individu bersuara tetapi memberikan had kepada kebebasan itu.

“Hak bersuara bukan hak untuk menfitnah, hak bersuara tidak bererti kita mempunyai hak untuk mengganggu orang lain, cuba pecah belahkan masyarakat, cuba ganggu gugat keselamtan awam.

“Apa tindakan yang telah kita buat adalah satu pindaan yang sangat seimbang di mana kita kecilkan ruang untuk mengambil tindakan tapi masa yang sama denda sekarang jauh lebih besar dan lebih berat,” katanya lagi.-9/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button