
Isu Rumah Ibadat: Anwar mahu penyelesaian nasional tanpa politik
Semua kerajaan negeri perlu mematuhi ketetapan berhubung pembinaan rumah ibadat digariskan Kerajaan Persekutuan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya perbincangan mengenai perkara terbabit akan dibuat bersama kerajaan negeri termasuk yang diterajui pembangkang.
Beliau yang juga Menteri Kewangan mahu kerajaan negeri mengetepikan perbezaan politik bagi membolehkan pengurusan isu pembinaan rumah ibadat dibuat mengikut dasar jelas dan standard.
“Mengenai soal rumah ibadat, kuil dan sebagainya, saya sudah membuat ketetapan di bawah Kerajaan Persekutuan, selain akan berunding dengan semua kerajaan negeri.
“(Perbincangan) ini termasuk kerajaan negeri diterajui pembangkang yang kadang-kadang riuh rendah cakap soal perjuangan mereka tetapi kuil haram lebih banyak di negeri mereka.

“Tidak mengapalah, kita ketepikan perbezaan politik dan Kerajaan Persekutuan dalam merangka keputusan, negara ini mesti terus maju dengan dasar jelas.
“Marilah bersama melaksanakannya sebaik mungkin, insya-Allah,” katanya berucap merasmikan Dialog Antarabangsa Sastera dan Budaya Selangor (DASA) 2026 di sini, malam ini.
Jelasnya, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati sebelum membuat sebarang keputusan muktamad berhubung isu rumah ibadat bagi memastikan keharmonian masyarakat terpelihara dan kestabilan negara terjamin.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita semua perlu berpegang kepada hukum dan undang-undang yang berkuat kuasa. Setiap urusan berkaitan ibadat hendaklah dilaksanakan mengikut peraturan ditetapkan tanpa sebarang pengecualian,” katanya.-10/2/2026



