
‘SARA Untuk Semua’ diperluas kepada makanan sejuk beku
Pemberian bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua bermula hari ini diperluaskan merangkumi kategori makanan sejuk beku.
Penambahan kategori itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, pengeluasan kategori makanan sejuk beku itu meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli menggunakan kredit SARA kepada 140,000 jenis barangan.
Katanya, penambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan 15 kategori barangan asas.
Menurut Anwar, bilangan kedai runcit kecil juga ditingkatkan kepada 10,000 menjelang hujung tahun ini dengan jarak capaian kedai dikurangkan dalam lingkungan tujuh kilometer (km) berbanding 10km pada masa ini.
“Dulu ada masalah kerana kita boleh beli di kedai-kedai, kedai-kedai besar. Jadi banyak orang bangkitkan. Sekarang ini kita gunakan 10,000 kedai runcit.

“Belilah dari 10,000 kedai runcit di seluruh negara. Dengan demikian kita boleh kembangkan kegiatannya menyeluruh ke peringkat yang serendah mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Perpaduan Negara, hari ini.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, peluasan SARA membabitkan semua lapisan rakyat walaupun nilai bantuan itu kecil secara individu, namun memberi kesan besar.
“Bayangkan 22 juta rakyat, dah dapat buat kali kedua, SARA untuk semua. Ya jumlahnya kecil tapi nak santuni semua.
“Berapa kesan dia keseluruhannya? SARA dengan STR (Sumbangan Tunai Rahmah) RM15 bilion. Dia bukan kecil tapi nak meringankan sebab apa? Kita tahu, Thaipusam baru lepas, Raya Cina nak datang, kemudian puasa bulan Ramadan,” jelasnya.-10/2/2026



