FOKUS

Muhyiddin makin goyang… Ronald Kiandee ‘team up’ dengan Hamzah

Kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden BERSATU semakin goyah apabila beliau bukan saja digesa meletak jawatan oleh pemimpin kanan parti.

Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, menjadi pemimpin kanan pertama yang mendesak Muhyiddin meletak jawatan sebagai Presiden, dengan mendakwa mantan Perdana Menteri itu gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.

Beliau berkata lebih malang, Muhyiddin dilihat menggunakan seluruh baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, termasuk menghalang laluan Timbalannya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, daripada memimpin BERSATU pada masa depan.

“Oleh yang demikian, untuk memulihkan serta membina semula kekuatan sebenar BERSATU, termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen Perikatan Nasional (PN), sudah sampai masanya Muhyiddin mempertimbangkan untuk berundur daripada jawatan Presiden Bersatu.

“Saya percaya hasrat murni kenyataan ini boleh diterima oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti Muhyiddin, apatah lagi pendirian ini selari dengan intipati kenyataan beliau sendiri di Singapura pada 2008 terhadap mantan Perdana Menteri, Almarhum Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Muhyiddin pernah mendesak Almarhum Tun Abdullah meletak jawatan Perdana Menteri ketika itu.

Ronald yang juga Pengerusi BERSATU Sabah, berkata tindakan Lembaga Disiplin (LD) untuk menghadapkan Hamzah atas tuduhan lama dan baru jelas merupakan langkah regresif yang bertentangan dengan usaha untuk memperkukuhkan parti dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

“Lebih membimbangkan, tindakan LD untuk menghadapkan Ketua-Ketua Bahagian, termasuk wakil rakyat dari Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri yang menyokong Hamzah menunjukkan adanya penyalahgunaan prosedur disiplin secara terdesak.

“Keadaan ini telah menyebabkan BERSATU dilihat oleh rakyat semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar.

“Kini, perjuangan parti seolah-olah hanya tertumpu kepada usaha untuk mengekalkan kuasa Muhyiddin serta melindungi kelompok penyokong pemimpin tertentu, tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan-rakan parti sahabat dalam gabungan PN,” katanya lagi.-11/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button