
MCMC tumpas sindiket Fake BTS di Johor
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menumpaskan satu lagi sindiket pemancaran Stesen Pangkalan Palsu atau Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) menerusi operasi di sekitar Bukit Chagar, Johor Bahru, pada Selasa.
Operasi bersepadu itu dijalankan susulan maklumat awam serta pemantauan teknikal dan analisis rangkaian MCMC yang mengesan aktiviti pemintasan rangkaian telekomunikasi dan penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu kepada pengguna.
“Dalam operasi bersepadu yang dijalankan bersama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi pada hari ini, pasukan penguatkuasa telah mengenal pasti seorang individu dan sebuah kenderaan yang digunakan sebagai platform pemancaran Fake BTS.
“Pemeriksaan di lokasi mengesahkan penggunaan peranti komunikasi tidak diperakui yang berupaya memintas rangkaian sah dan menghantar SMS palsu secara terus kepada peranti pengguna di sekitarnya.
“Maklumat yang diperoleh turut menunjukkan bahawa individu yang terlibat direkrut untuk mengendalikan peranti Fake BTS melalui tawaran pekerjaan dengan bayaran harian, satu taktik yang digunakan oleh sindiket bagi memperluas operasi tanpa mendedahkan struktur sebenar rangkaian mereka,” menurut MCMC dalam satu kenyataan.
MCMC memaklumkan penemuan itu mengesahkan kewujudan rangkaian sindiket yang menyasarkan kawasan tumpuan awam, sekali gus meningkatkan risiko penipuan dan mengancam integriti sistem telekomunikasi negara.
Kes itu diambil tindakan di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta Peraturan 16(1)(b), Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000.
Bagi kesalahan di bawah Seksyen 239 Akta 588, seseorang yang disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1,000,000 atau dipenjarakan sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
Manakala bagi kesalahan di bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000, pelaku boleh didenda maksimum RM300,000 atau dipenjarakan sehingga tiga (3) tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan rangkaian komunikasi dan akan terus mempergiat pemantauan teknikal serta tindakan penguatkuasaan bagi melindungi pengguna serta memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan rangkaian komunikasi negara.-11/2/2026



