
Hampir dua juta rakyat tebus SARA Sejak 9 Februari – Amir Hamzah
Hampir dua juta penerima Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah menebus bantuan RM100 yang dikreditkan bermula 9 Februari lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, daripada jumlah itu, hampir RM200 juta telah dibelanjakan oleh penerima setakat Selasa.
“Ini menunjukkan program SARA menunjukkan perkembangan yang baik,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Peluncuran Jana MyPesara di Menara KWAP hari ini.
Pada masa sama, Amir Hamzah turut menyatakan proses penebusan wang sumbangan lebih lancar berbanding tahun lalu.
“Pada tahun lalu berlaku masalah kecil melibatkan sistem namun pada tahun ini ia benar-benar lancar dan orang ramai tak perlu beratur panjang lagi,” katanya.
Beliau menambah, meskipun kelayakan barangan telah diperluaskan kepada produk sejuk beku, kerajaan tetap komited untuk terus menambah baik manfaat kepada rakyat.
“Kita akan terus melihat kepada (aspek) untuk ditambah baik agar dapat membantu rakyat di masa hadapan,” katanya lagi.
Kerajaan baru-baru ini bersetuju memperluaskan kategori barangan SARA merangkumi makanan sejuk beku, menjadikan jumlah kategori keperluan asas yang boleh ditebus sebanyak 15.
Terdahulu, kerajaan mengumumkan hampir 22 juta rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas akan menerima bantuan SARA.
Sumbangan tersebut melibatkan RM2.2 bilion sebagai usaha kerajaan untuk meringankan kos sara hidup rakyat.
Tempoh sah penggunaan sumbangan secara sekali beri itu adalah sehingga hujung tahun ini.-12/2/2026



