TAHUKAH ANDA

Kekalkan Azam Baki di SPRM demi kelangsungan perang terhadap rasuah

Ketika usaha membanteras rasuah terus menjadi agenda utama pentadbiran negara, Kerajaan Madani disaran agar tidak berganjak dalam mempertahankan Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Timbalan Speaker DUN Negeri Sembilan, Mohd Asna Amin berkata, kepimpinan Azam sejak Mac 2020 telah memperlihatkan ketegasan luar biasa dalam menangani kes rasuah berprofil tinggi, termasuk melibatkan tokoh-tokoh berpengaruh.

Menurut beliau, sepanjang lima tahun menerajui SPRM, agensi itu berjaya menyita aset bernilai RM3.54 bilion dan melucut hak harta bernilai RM27.87 bilion yang dikembalikan kepada negara.

“Tindakan tegas ini mungkin tidak disenangi sesetengah pihak, tetapi ia membuktikan komitmen beliau terhadap prinsip integriti dan kedaulatan undang-undang,” katanya.

Mohd Asna yang juga ADUN Lenggeng berkata, ketegasan SPRM di bawah Azam telah memberi mesej jelas kepada penjawat awam bahawa salah guna kuasa tidak lagi boleh dipandang ringan.

Beliau turut mendakwa sokongan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah semakin meningkat berikutan keberanian SPRM mengambil tindakan terhadap individu berprofil tinggi yang sebelum ini dianggap ‘kebal’.

“Ke mana sahaja saya turun padang, rakyat menyatakan keyakinan terhadap keberanian SPRM. Ini membuktikan janji Kerajaan Madani untuk membanteras rasuah bukan sekadar retorik,” ujarnya.

Namun beliau mengakui Azam kini berdepan tekanan hebat susulan tindakan agresif terhadap pelaku rasuah.

“Rasuah umpama anai-anai yang meruntuhkan rumah jika tidak dibasmi. Apabila kita menyerang sarangnya, sudah tentu akan ada serangan balas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan tidak seharusnya menukar kepimpinan ketika “perang” menentang rasuah sedang berada di fasa kritikal.

“Jika kita sudah ada jeneral yang berani dan berpengalaman di medan, mengapa perlu diganti?” soal beliau.

Untuk rekod, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta semua pihak perlu mengambilkira penjelasan Tan Sri Azam Baki berhubung dakwaan pemilikan saham syarikat.

Anwar dalam satu majlis pada Rabu malam menegaskan, rakyat harus membaca dan memahami penjelasan Azam sebelum membuat sebarang tuduhan atau spekulasi.

“Orang buat kerja nak pecat mengapa, nak suruh ambil perasuah jaga. Dengar penjelasan dia (Azam Baki). Dia buat kerja, buat apa maki dia” kata Anwar.-12/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button