SUARA PEMBACA

Komen Wan Saiful pasal rombakan kabinet

Pelantikan YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai Menteri Kesihatan memang sudah dijangka.

Manakala pelantikan YB Steven Sim Chee Keong 沈志强 dan YB Armizan Mohd Ali sebagai Menteri penuh pula adalah berita gembira bagi saya secara peribadi. Mereka adalah tokoh generasi baru politik Malaysia dan punyai potensi tinggi.

Cuma saya bersimpati mereka terpaksa berkhidmat di bawah seorang Perdana Menteri yang tidak kompeten dan cacamarba. Semoga potensi diri mereka boleh menampung ketiadaan halatuju Anwar Ibrahim.

Alhamdulillah, Anwar Ibrahim sendiri telah sedar dia tidak kompeten sebagai Menteri Kewangan. Kesedaran ini membawa kepada pelantikan seorang tokoh korporat sebagai Menteri Kewangan 2.

Pelantikan tokoh korporat menunjukkan betapa Anwar Ibrahim tiada keyakinan terhadap ahli-ahli Parlimen sendiri. Dalam sebegitu ramai Ahli Dewan Rakyat kerajaan, dan sebegitu ramai pemimpin parti-parti dalam kerajaan yang boleh dilantik jadi Senator, nampaknya Anwar berpandangan tiada seorang pun yang kompeten untuk menjadi Menteri Kewangan 2. Maka dia terpaksa mencari orang yang kompeten dari luar Parlimen dan luar parti.

Saya rasa hampir semua MP tidak membantah bahawa sebenarnya individu paling layak jadi Menteri Kewangan 2 ialah Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ahli Parlimen Titiwangsa.

Saya dari awal tahun 2023 lagi dah sebut bahawa Dato Jo adalah tokoh berwibawa. Malangnya Dato Jo hanya jadi Menteri Perladangan.

Saya rasa Anwar bimbang kalau Dato Jo jadi MK2, maka Dato Jo akan “outshine” Anwar sendiri. Orang yang “insecure” macam Anwar memang tak akan lantik sesiapa yang boleh jadi “rival” ke jawatan besar.

Maka inilah juga yang Anwar lakukan untuk bantu Zahid Hamidi. Demi menyekat kemaraan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, maka Anwar hantar dia ke Kementerian Luar, iaitu sebuah Kementerian yang penting untuk negara tapi tidak strategik untuk individu yang satu tangga saja lagi boleh menyanggah Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.

Kementerian Luar tidak strategik bagi Tok Mat kerana beliau akan terpaksa berada di luar negara untuk tempoh yang lama dan ini membuka ruang untuk Zahid terus mencatur sokongan untuk dirinya sendiri dalam UMNO. Di bawah Kementerian Luar juga tidak banyak agensi yang Tok Mat boleh gunakan untuk bagi payung kepada akar umbi UMNO. Maka nilai Tok Mat dalam parti akan turun.

Maksudnya, walaupun melakukan khidmat penting untuk negara, kedudukan Tok Mat dalam UMNO sedang dilemahkan oleh Zahid. Anwar bantu mencaturkan untuk melemahkan rival Zahid sebab Zahid mungkin sudah mula rasa insecure juga.

Tahniah saya ucapkan kepada keluarga Lim Kit Siang (林吉祥).

Seorang lagi anak Lim Kit Siang iaitu YB Lim Hui Ying 林慧英, adik YB Lim Guan Eng, dah masuk ke Kementerian Kewangan sebagai Timbalan Menteri. Sudah pasti agenda pembangunan ekonomi Bumiputera akan terus subur dengan adanya Timbalan Menteri ini.

Bilangan Menteri sudah bertambah sehingga Kementerian pun dipecahkan untuk membolehkan sokongan dibeli melalui jawatan dan lantikan. Selepas ini sudah pasti sokongan terus dibeli dengan lantikan ke agensi-agensi hinggalah ke peringkat kampung-kampung.

Dulu Anwar janjikan saiz kabinet dikecilkan. Kita lambai tangan dan ucapkan “ta-ta” kepada janji ini yang sudah ke laut.

Paling ketara, dalam kerajaan hari ini nepotisme terus menjadi tema utama.

Pelantikan abang dan adik, serta papa dan anak, sudah menjadi kebiasaan, bukan saja dalam Dewan Rakyat tapi juga di peringkat Eksekutif. Tapi nampaknya semua suara yang membantah nepotisme dulu terus bisu sebab sudah mabuk dengan kuasa.

Cuma saya tak pasti sama ada nak ucapkan tahniah atau takziah kepada kita semua sebagai rakyat Malaysia atas pengekalan YB Rafizi Ramli sebagai Menteri Ekonomi. Wahai rakyat Malaysia, bersabarlah hingga kita dibentangkan dengan formula seterusnya …

Wan Saiful Wan Jan – 13/12/2023

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button