FOKUS

Kejutan pertama dari Hamzah Zainuddin…apa pula langkah Muhyiddin?

Dalam senario politik negara perkembangan terbaru yang meletop dalam kemelut parti BERSATU sudah tentu ada yang kata ‘siap pop corn…mari ramai-ramai tonton’.

Apa tidaknya krisis dalaman parti itu yang sekian lama berlegar sudah sampai ke kemuncaknya bila Timbalan Presiden BERSATU ,Datuk Seri Hamzah Zainuddin rasmi dipecat dari parti.

Tanda tanya tentu berlegar apakah ini penamat karier politik Ahli Parlimen Larut yang ada label ‘political operator’ dalam sepak terajang dengan kelompok diketuai Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Melihat dari kejutan buah pertama Hamzah tidak lama selepas pengumuman pemecatannya dan sebilangan orang-orangnya dari BERSATU oleh Lembaga Disiplin Jumaat semalam ramai yang menduga pasti ada babak menarik akan muncul.

Siapa sangka Hamzah dan beberapa orang kuatnya rupanya sudah minum petang bersama Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan pimpinan utama parti itu di Rusila, Terengganu.

Gambar mereka bersama di rumah Presiden PAS itu yang dimuat naik dalam facebook Hamzah adalah petanda tanpa boleh diselidung lagi PAS yang menjadi tunjang utama gabungan Perikatan Nasional berada disebelah siapa dalam kemelut ini.

Sebenarnya sebelum ini bukan rahsia lagi PAS lebih condong kepada Hamzah berbanding Muhyiddin.

Hamzah buat kejutan pertama ini ketika ramai yang menduga beliau kini sedang berada di Sydney,Australia untuk membantu urus pendaftaran anaknya masuk ke sebuah universiti di sana.

Setakat ini tidak diketahui bila beliau pergi dan balik dari luar negara itu.

“Alhamdulillah. Minum petang di Rusila. Allah SWT adalah sebaik-baik perancang,” kata Hamzah dalam posting itu.

Dalam gambar itu Hadi dilihat duduk di hujung meja, dengan Hamzah di sebelahnya, bersama Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, yang kedua-duanya sebelum ini dipecat daripada Bersatu.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Ronald Kiandee, yang secara terbuka menyokong Hamzah namun setakat ini tidak dikenakan tindakan disiplin, turut hadir.

Dari PAS pula, kelihatan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar; Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menilai dari timing gambar itu disiar dan pengumuman pemecatan mereka dari BERSATU…nampaknya seolah Hamzah sudah awal-awal tahu apa yang akan berlaku semalam.

Apa yang pasti nampaknya kedua-dua kelompok Muhyiddin dan Hamzah tidak tunggu lama untuk mengatur langkah.

Muhyiddin telah panggil Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) bagi membincangkan agenda penting berkaitan hala tuju parti sekitar jam 10 pagi di kediamanya di Bukit Damansara,Kuala Lumpur.

Notis mesyuarat itu dikeluarkan oleh Setiausaha Agung, Datuk Seri Azmin Ali pada malam Jumaat.

Ketika laporan ini ditulis ramai wartawan dan jurugambar sudah standby di sekitar kediaman Presidan BERSATU itu.

Team Hamzah pula akan mengadakan satu taklimat berkaitan hala tuju dan reset politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM), Kuala Lumpur sekitar jam 2 petang hari ini,Sabtu.

Menerusi jemputan kepada media, taklimat tersebut turut melibatkan beberapa ahli Parlimen, ketua bahagian dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu.- 14/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button