TAHUKAH ANDA

503 kes baharu Tibi dikesan, Sabah catat jumlah tertinggi

Sebanyak 503 kes baharu tuberkulosis (Tibi) dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi ke-5 tahun ini (ME 5/2026), sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 2,571 kes setakat ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi dengan 614 kes, diikuti Selangor (476 kes), Sarawak (257 kes), Johor (233 kes) serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (202 kes).

Sementara itu, Pulau Pinang merekodkan 148 kes, diikuti Kedah (144 kes), Perak (127 kes), Kelantan (96 kes), Pahang (81 kes), Terengganu (60 kes), Negeri Sembilan (58 kes), Melaka (42 kes), Perlis (17 kes) dan Wilayah Persekutuan Labuan (16 kes).

Susulan itu, menjelang musim perayaan dan cuti panjang, KKM menasihatkan orang ramai lebih peka terhadap pencegahan penyakit itu dengan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul serta memakai pelitup muka di kawasan sesak.

“Individu yang mengalami gejala seperti batuk berpanjangan, demam, hilang selera makan atau penurunan berat badan digesa supaya segera menjalani saringan di fasiliti kesihatan terdekat.” katanya dalam kenyataan sama.

Jelas KKM, langkah berkenaan bukan sahaja penting sebagai penilaian risiko kendiri, malah merupakan tanggungjawab sosial dalam melindungi diri, keluarga dan komuniti daripada risiko jangkitan penyakit berjangkit.-16/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button