
Ex BERSATU boleh mohon masuk UMNO… tapi ada syaratnya…
Boleh cuba tapi belum tentu diterima… itu isyarat yang disampaikan kepada mana-mana pemimpin politik yang ingin menyertai UMNO terutama selepas pergolakan dalam parti BERSATU.
Menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Maslan semua keputusan untuk terima mana-mana ahli politik penyertai UMNO akan ditentukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu berdasarkan tiga prinsip utama.
Katanya tiga prinsip berkenaan ialah Rumah Bangsa, Musyawarah Nasional dan Kolaborasi Agung.
Beliau berkata semua pihak perlu berjiwa besar dalam menangani isu berkenaan dan sebarang permohonan menyertai parti itu akan diputuskan MKT.
“Pada saya, dalam situasi sekarang kita hendaklah berjiwa besar. Jika mereka (pemimpin politik) ingin bersama, keputusan akan dibuat oleh MKT.
“Kebiasaannya MKT yang akan memutuskan sekiranya ada permohonan untuk menyertai UMNO,” katanya.
Ahmad yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata demikian ketika diminta mengulas laporan mengenai beberapa pemimpin BERSATU, termasuk bekas Timbalan Presidennya Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didakwa akan menyertai UMNO.
Bagaimanapun, beliau menegaskan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak berhasrat mengambil kesempatan terhadap permasalahan atau krisis yang dihadapi parti lain.
Secara peribadi, katanya UMNO dan BN akan terus diperkukuh dengan kekuatan sedia ada.
“Kita tidak mahu mengambil kesempatan daripada kemelut parti lain. Biarlah UMNO dan BN ini kuat atas kekuatan sendiri, bukan disebabkan apa yang berlaku kepada parti lawan,” katanya.
Jumaat lepas, Hamzah dipecat daripada keahlian Bersatu berkuat kuasa serta-merta susulan tindakannya melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan parti, dengan keputusan itu dibuat Lembaga Disiplin selaras Fasal 22.5 perlembagaan berkenaan.-16/2/2026



