FOKUS

Caprice tuntut Rafizi mohon maaf secara terbuka…

Pempengaruh media sosial Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice menjadi tumpuan pada Jumaat apabila adakan sidang akhbar untuk jawab isu antaranya dengan Datuk Seri Rafizi Ramli.

Dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur itu Caprice menafikan beliau ada menyebut jumlah RM2.5 bilion mahu pun sebarang perkataan rasuah dikaitkan dengan bekas Menteri Ekonomi dalam hantaran video di laman sosialnya baru-baru ini.

Ini susulan hantaran di laman sosial Rafizi persoal ulasan Caprice berhubung penganugerahan kontrak kepada sebuah syarikat yang ada kaitan dengan dirinya semasa masih memegang jawatan Menteri Ekonomi sebagai satu fitnah.

Ia dipercayai merujuk kepada projek Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) membabitkan pelaburan RM2.5 bilion oleh UEM Lestra.

Sebelum ini, media melaporkan Caprice dalam ulasannya mendakwa pihaknya menerima maklumat daripada seorang pemberi maklumat berhubung dakwaan pembabitan seorang ahli perniagaan yang juga didakwa memiliki saham dalam syarikat milik Rafizi, Invoke Solutions Sdn Bhd.

Malah Caprice turut memuat naik gambar yang memaparkan Rafizi bersama ahli perniagaan yang juga Ketua Pegawai Eksekutif sebuah syarikat dalam satu majlis.

Bekas Menteri Ekonomi itu mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Caprice tidak nampak dimana salahnya beliau bangkitkan persoalan mengenai hal berkenaan.

“Apa yang saya tanya adalah soalan munasabah, ‘Can this be conflict of interest?’ (Adakah ini boleh dianggap sebagai konflik kepentingan)? Yes or no? That’s it. (Ya atau tidak? Itu sahaja).

“Kalau diulang semula hantaran video saya sebanyak 10,000 kali sekali pun, itu yang akan anda dengar.

“Kalau Rafizi Ramli boleh ada podcast dan tanya macam-macam soalan, apa beza Caprice dengan dia,” katanya.

Apapun Caprice memilih untuk “berdamai” dengan Rafizi dengan cara tersendiri.

Pempengaruh itu menzahirkan kesudian untuk bertemu dengan Rafizi dalam tempoh masa terdekat.

“Saya menghulurkan tangan kepada Rafizi. Kalau Rafizi sudi, saya sedia untuk berdamai. Saya belikan anda bunga hari ini yang mungkin tahan sekitar tujuh hari sebelum layu.

“Jadi, saya harap dalam masa tujuh hari ini, kita dapatlah berdamai dan tolonglah jangan heret Caprice dalam dunia perang politik ini,” katanya.

Namun begitu Caprice turut menghantar surat tuntutan kepada Rafizi, antaranya menuntut permohonan maaf daripadanya.

Peguam Caprice, Rezan Ezra Mosinal berkata surat tersebut telah dihantar kepada Rafizi melalui emel pada jam 2.30 petang tadi.

Menurutnya, emel itu menggariskan tiga tuntutan: Rafizi perlu menarik balik hantaran mengenai Caprice, memadam semua hantaran tersebut, dan membuat permohonan maaf secara terbuka kepadanya.

Jika Rafizi gagal berbuat demikian sebelum jam lima petang esok, tindakan undang-undang terhadapnya akan diambil, katanya.- 20/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button