
Gempa Bumi Sabah: Penduduk rasa gegaran selama 10 saat
Penduduk di sekitar Pantai Barat Sabah dikejutkan dengan gegaran kuat selama kira-kira 10 saat susulan gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Kota Kinabalu, awal pagi tadi.
Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 dilaporkan berlaku di perairan Kota Kinabalu, Sabah pada jam 12.57 awal pagi tadi.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), dalam kenyataan memaklumkan gempa berkenaan berpusat pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur dikesan pada jarak kira-kira 49 kilometer (km) barat dari Kudat, Sabah dengan kedalaman 678 kilometer (km).
Penduduk, Petrus Bius, dari Kepayan, dekat sini, berkata ketika kejadian dia sedang berehat sebelum tiba-tiba terasa rumahnya bergegar.
“Saya masa itu sedang berehat, tiba-tiba rasa gegaran dalam 10 saat macam itu. Memang jelas terasa.
“Anak saya pula sedang belajar dan terus beritahu jendela biliknya bergegar, manakala pingat yang digantung turut berhayun dan berbunyi,” katanya, memetik laporan BH.
Sementara itu di Sandakan, Azlan Adlan berkata, dia menyedari kejadian berkenaan ketika sedang baring di sofa.
“Sekali rasa macam kena ayun. Saya terus bangun dan tengok, memang ada gegaran,” katanya.
Dalam pada itu, di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Sri Serigai, Putatan, kebanyakan penghuni yang merasai gegaran bertindak keluar dari kediaman masing-masing dan berkumpul di dewan sebagai langkah berjaga-jaga.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah memaklumkan setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan kecemasan berkaitan kejadian gempa berkenaan.
Bagaimanapun, pemantauan sedang dijalankan oleh pasukan bomba di sekitar perairan Kota Kinabalu bagi memastikan keadaan kekal selamat dan terkawal.-23/2/2026



