
MCMC siasat hantaran hina, ancam kerabat Diraja Terengganu
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan bersifat mengancam, menghina dan jelik melampau terhadap kerabat Diraja Terengganu menerusi platform X.
Menurut MCMC, kandungan tersebut didapati menyentuh sensitiviti Institusi Diraja melibatkan isu 3R selain mengandungi unsur penghinaan dan ancaman yang berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam serta mengganggu ketenteraman negara.
“Bagi membantu siasatan, individu berkenaan telah dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Lanchang pada 21 Februari lalu. Dalam sesi rakaman percakapan itu, satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM turut disita bagi tujuan analisis forensik digital.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” jelas MCMC menerusi kenyataan media.
MCMC menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap Institusi Diraja.
“Orang ramai diingatkan agar menggunakan platform digital secara berhemah dan tidak menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.-23/2/2026
