
Pembangunan pusat data jejas bekalan air, tenaga dihadkan
Kerajaan akan menghadkan kemasukan pusat data baharu yang tidak berkaitan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI), susulan peningkatan mendadak penggunaan tenaga dan air dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan telah mengambil langkah menghadkan kelulusan pusat data sejak dua tahun lalu bagi mengelakkan tekanan terhadap bekalan utiliti negara.
Jelas Perdana Menteri, pengecualian kelulusan akan diberikan kepada pusat data yang memiliki penambahan teknologi tinggi termasuk AI.
“Itu mudah diluluskan namun semua (kelulusan bagi) permohonan baharu yang tidak ada kaitan, terutamanya menggunakan kemudahan air yang lebih murah dan harga tenaga yang lebih murah itu sudah dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Che Mohamad Zulkifly (PN-Besut) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri menjelaskan setakat ini unjuran oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menunjukkan permohonan baharu bagi tempoh satu hingga dua tahun masih dalam kapasiti keupayaan sedia ada.
“(Namun) kerajaan turut mengambil langkah jangka panjang bagi memastikan bekalan tenaga mencukupi, termasuk melalui inisiatif Asian Energy Grid yang sedang diselenggara dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia hingga ke Singapura.
“Kerajaan juga mempunyai rencana untuk mendapatkan bekalan tenaga dari Sarawak ke Semenanjung Malaysia dan Singapura sebagai langkah jangka panjang bagi memperkukuh keselamatan tenaga negara,” katanya.
Tambah Perdana Menteri setakat ni, unjuran menunjukkan keperluan bagi tempoh satu hingga dua tahun masih mencukupi.
“Namun, saya mengambil perhatian terhadap gesaan yang dibangkitkan dan perkara ini akan terus dipantau dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Anwar turut memaklumkan kerajaan mengambil serius gesaan yang dibangkitkan supaya aspek perundangan dan peraturan sedia ada, termasuk di bawah seliaan pihak tenaga dan Tenaga Nasional Berhad diteliti dan ditambah baik sekiranya perlu dan wajar dipertimbangkan kerana ia isu yang agak serius.-24/2/2026



