FOKUS

Isu ART: Kerajaan tidak gopoh, mahu lindungi dagangan RM367.5 bilion

Kerajaan tidak akan terburu-buru dalam memutuskan pendirian Malaysia berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Art) dengan Amerika Syarikat (AS), kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan mengenai Art oleh AS, tindakan susulan yang diambil oleh Presiden AS, Donald Trump, serta meneliti pelbagai aspek bagi melindungi kepentingan ekonomi dan perdagangan Malaysia.

“Kita akan terus pantau perkembangan Art ini kerana keputusan Mahkamah Agung AS masih belum muktamad dan kita tunggu pendirian Kongres. Malah, Presiden Trump boleh menggunakan beberapa peruntukan undang-undang lain bagi mengekalkan tarif yang diputuskan sebelum ini,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan perlu diberi ruang untuk meneliti perkembangan dan implikasi keputusan eksekutif AS, terutamanya ke atas hubungan dua hala Malaysia-AS yang bernilai RM367.5 bilion.

Anwar menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) berkenaan pendirian kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Agung AS yang mengisytiharkan tarif yang dikenakan oleh Trump sebagai tidak sah.

“Kita tunggu dulu, saya tidak katakan bahawa kita akan melanggar (perjanjian Art) mahupun tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah AS,” katanya.

Anwar turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa tarif sebanyak 15 peratus akan dikenakan ke atas Malaysia bagi tempoh 150 hari.

“Kesan keputusan eksekutif ini (tarif sebanyak 15 peratus) memberi kesan sementara yang baik kepada Malaysia kerana ia turun dari 19 peratus. Malah, sehingga semalam, kita masih belum mendapat tarikh ratifikasi Art daripada pihak AS, jadi ia masih juga tertangguh di situ,” katanya lagi.

Beliau berkata kerajaan perlu menunggu perkembangan terkini isu Art, meneliti perincian perkembangan perjanjian perdagangan tersebut serta membahaskan implikasinya.

“Ini soal ekonomi besar, ekonomi yang melibatkan puluhan ribu rakyat dan ratusan bilion dana, jadi saya kata beri ruang kepada kerajaan dahulu,” katanya.

Menurutnya, kabinet akan mengadakan perbincangan lanjut pada Jumaat ini berhubung isu tarif AS.

Pada 20 Feb lepas, Mahkamah Agung AS telah membatalkan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (Ieepa) yang menjadi asas tindakan Trump termasuk membabitkan tarif timbal balas.

Terdahulu, Trump dilaporkan berkata bahawa beliau akan menaikkan tarif global kepada 15 peratus daripada 10 peratus berikutan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan kebanyakan langkah perdagangannya sebelum ini.

Dalam satu catatan di platform Truth Social pada Sabtu lalu, beliau berkata kenaikan itu akan dilaksanakan di bawah Seksyen 122, berkuat kuasa serta-merta dan akan melebihi tarif sedia ada.

  • Bernama – 24/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button