
Pegawai agensi jaga sempadan ditembak ketika ke masjid subuh tadi… ini motifnya
Motif awal kejadian Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam ditembak dua lelaki ketika ingin ke masjid dipercayai untuk menakut-menakutkan pegawai penguat kuasa.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata, pihaknya percaya motif kejadian itu kerana ada individu yang tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa sama ada AKPS dan polis yang banyak melakar kejayaan rampasan.
Menurutnya, bulan lalu AKPS berjaya merampas daging khinzir yang cuba diseludup dan rampasan lain menyebabkan ada kemungkinan pihak yang tidak berpuas hati.
“Jadi motif kejadian setakat ini untuk menakut-nakutkan pihak berkuasa.
“Bagaimanapun kejadian ini tidak akan mematahkan semangat semua pegawai penguat kuasa untuk terus menjalankan tugas dan membanteras penyeludupan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan setakat ini mendapati suspek memakai topi keledar berpenutup penuh dan tidak membuka lampu ketika melepaskan tembakan.
“Ketika kejadian itu beliau (Komander AKPS Bukit Kayu Hitam) dalam perjalanan ke masjid yang terletak satu kilometer dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam tiba-tiba dia terdengar bunyi letupan.
“Beliau cuba mengejar dua lelaki menaiki motosikal namun gagal,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Mohd Zain mengesahkan kejadian pegawainya diserang dua lelaki dan memberitahu beliau dalam perjalanan ke sana.
Harian Metro melaporkan Proton X70 yang dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam dipercayai ditembak dengan dua das tembakan awal pagi tadi.
Adzli berkata, dalam kejadian jam 5.40 pagi itu, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir terselamat.-25/2/2026



