
Pendakwa utama SPRM dipindah ke Jabatan Peguam Negara
Pendakwa utama dalam beberapa kes rasuah berprofil tinggi, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin telah dipindahkan dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Jabatan Peguam Negara Malaysia (AGC) sebagai Timbalan Ketua II Bahagian Perbicaraan dan Rayuan.
Menurut satu pekeliling bertarikh 24 Februari, pertukaran Wan Shaharuddin yang juga Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM akan berkuat kuasa 2 Mac ini.
New Straits Times melaporkan perintah pertukaran menyatakan bahawa pelantikan beliau di AGC adalah pada jawatan supernumerary (jawatan terapung), menandakan penempatan itu tidak terikat kepada jawatan tetap dalam struktur perjawatan bahagian berkenaan.
Jawatan itu kini disandang oleh Datuk Yusaini Amer Abdul Karim.
Pada 2019, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas telah memilih Wan Shaharuddin untuk jawatan berkenaan atas saranan bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya.
Antara perbicaraan berprofil tinggi di bawah kendalian Wan Shaharuddin ialah kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang didakwa meminta dan menerima suapan berkaitan projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Perbicaraan itu masih berjalan di Mahkamah Sesyen.
Beliau juga adalah pendakwa utama dalam kes membabitkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang kini menunggu keputusan di Mahkamah Persekutuan.
Pihak pendakwaan merayu untuk mengembalikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan ke atas Syed Saddiq.
Wan Shaharuddin turut mengetuai pendakwaan dalam kes rasuah bekas menteri Sabah, Datuk Peter Anthony yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tahun lalu.
Beliau juga mengetuai pendakwaan dalam perbicaraan rasuah bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berdepan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan RM232.5 juta suapan yang didakwa serta RM200 juta hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.
Perbicaraan itu dijadualkan bermula pada 9 Mac di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Noor Ruwena Md Nurdin.
Pada 22 Januari, Wan Shaharuddin mengetuai pasukan timbalan pendakwa raya dalam mendakwa bekas Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Hafizuddeain Jantan atas empat pertuduhan menerima RM2,122,400 hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang.-25/2/2026



