
MCMC umum langkah terbaru benteras salahguna identiti dan penipuan dalam talian
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini memperkenal langkah terbaru dalam usahanya untuk menutup ruang penyalahgunaan identiti dan pendaftaran palsu yang sering dieksploitasi sindiket penipuan.
Satu kenyataan MCMC berkata langkah ini akan meningkatkan perlindungan pengguna serta memastikan perkhidmatan mudah alih kekal selamat dan mudah diakses.
Katanya langkah dikenali sebagai Penentuan Suruhanjaya mengenai Standard Mandatori Pendaftaran Pengguna Akhir Perkhidmatan Selular Awam Prabayar adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 55 dan 104(1)(b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKM 1998).
Standard Mandatori ini merangkumi beberapa langkah perlindungan utama yang berfokuskan kepada pengguna.
Penyedia perkhidmatan dan pengedar dilantik diingatkan supaya mematuhi standard mandotari ini dilaksana sepenuhnya dan tepat pada masanya dan sebarang ketidak patuhan akan dikenakan Tindakan.
MCMC turut menasihatkan pengguna supaya mendaftar kad SIM prabayar melalui penyedia perkhidmatan berlesen dan pengedar yang dibenarkan.
Di bawah langkah baru ini antara lain ialah had pemilikan lima kad SIM bagi setiap individu warganegara atau pemastautin untuk setiap penyedia perkhidmatan, manakala bukan warganegara dihadkan kepada dua kad SIM sahaja.
Pendaftaran kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan, sementara remaja berusia 12 hingga 17 tahun perlu didaftarkan oleh ibu bapa atau penjaga.
Pengguna juga mesti dimaklumkan status pendaftaran dalam tempoh 12 jam.
Bagi pelancong, tempoh sah kad SIM dihadkan maksimum tiga bulan sebelum ditamatkan secara automatik.- 26/2/2026



