FOKUS

Laporan isu pemilikan saham Azam Baki diserah minggu depan…siasatan hampir selesai

Apa cerita hasil siasatan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki akan diketahui dalam sedikit masa lagi.

Siasatan oleh Jawatankuasa Khas hampir selesai dan dan laporan akan diserah minggu depan.

Jurucakap kerajaan yang juga Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata hasil laporan itu nanti, Jemaah Menteri akan menimbang langkah selanjutnya termasuk keperluan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).

Menteri Komunikasi itu beritahu sidang akhbar di Putrajaya pada Jumaat jemaah menteri sudah bersetuju bahawa isu (pemilikan saham Azam dan salah guna institusi) ini amat serius dan mengambil maklum cadangan penubuhan RCI.

“Justeru, Jemaah Menteri akan meneliti laporan jawatankuasa siasatan dan mempertimbang tindakan susulan, termasuk keperluan pelaksanaan RCI,” katanya.

Menurutnya berhubung isu dakwaan salah guna institusi SPRM bagi tujuan manfaat korporat, laporan polis sudah dibuat dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan segera untuk mengenal pasti mana-mana pihak yang melanggar undang-undang untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

Jawatankuasa Khas siasatan berkenaan dipengerusikan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.

Turut menganggotai jawatankuasa berkenaan ialah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Penubuhan Jawatakuasa Khas itu susulan pendedahan Bloomberg dalam laporannya sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan Azam sudah dipanggil memberi keterangan berkaitan isu pemilikan saham pada 19 Februari lalu.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang ditemui wartawan di Masjid Jamek Bandar Kajang selepas solat Jumaat beritahu mesyuarat kabinet telah mengadakan perbincangan mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu pemilikan saham Azam Baki.

Katanya kerajaan akan mengeluarkan kenyataan mengenainya dalam masa terdekat.

“Kita dah bincang (dalam mesyuarat Kabinet) tadi, elok. Nanti ada kenyataan (akan dikeluarkan),” katanya ringkas.-27/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button