FOKUS

Isteri Allahyarham Tun Daim nafi ada kaitan komplot nak jatuhkan kerajaan

Isteri Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Naimah Abdul Khalid anggap sebagai tidak masuk akal dakwaan yang mengaitkan beliau dengan media antarabangsa dalam rancangan untuk jatuhkan kerajaan.

Beliau persoalkan bagaimana seseorang boleh menjatuhkan kerajaan dengan bantuan media antarabangsa atau sebuah firma perhubungan awam.

“Jika itu benar, sudah tentu berulang kali kerajaan Malaysia sebelum ini telah tumbang sepanjang sejarah,”katanya menerusi satu kenyataan Jumaat.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap tuduhan palsu dan fitnah ini,” katanya lagi.

Sebelum ini Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilapor mengesahkan siasatan berhubung dakwaan wujudnya cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara.

Beliau berkata, siasatan berkenaan membabitkan seorang individu berpengaruh tempatan yang didakwa mempunyai kaitan dengan agensi media antarabangsa.

Serentak itu Naimah mengesahkan satu laporan polis dibuat terhadapnya berhubung dakwaan terbabit dalam usaha menjatuhkan kerajaan.

Naimah sifatkan laporan polis terhadapnya sebagai tidak berasas, mengarut, dan dibuat oleh seorang individu yang pernah menawarkan diri menyertai pasukan komunikasinya pada Julai 2025.

Namun khidmat individu itu ditamatkan akibat prestasi kerja yang lemah.

“Selepas khidmatnya ditamatkan, beliau cuba membuat tuntutan kewangan tambahan. Jelas sekali ini adalah tingkah laku seorang lelaki yang tidak berpuas hati.”

Naimah menegaskan, beliau tidak pernah terlibat, apatah lagi mempertimbangkan atau menyokong sebarang usaha menjejaskan kestabilan kerajaan yang dipilih rakyat. -26/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button