
Ini jawaban Rafizi pada surat tunjuk sebab PKR…
Datuk Seri Rafizi Ramli telah menjawab surat tunjuk sebab dari Setiausaha Agung PKR Datuk Fuziah Salleh berhubung tafsiran beliau sudah buat kenyataan pengisytiharan keluar parti dalam interbiu dengan akhbar Sin Chew Daily.
Bekas Timbalan Presiden PKR itu menegaskan beliau akan kekal sebagai anggota PKR dan berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Pandan sehinggalah parlimen dibubarkan bagi tujuan Pilihanraya Umum ke-16.
“Saya berhak mempunyai perancangan sendiri selepas parlimen dibubarkan dan tidak lagi terikat dengan peruntukan bersabit pertukaran parti oleh ahli parlimen di tengah-tengah penggal.
“Oleh itu, sekiranya kenyataan-kenyataan itu difahami mengikut pemahaman bahasa Melayu yang waras, ia tidak memerlukan tafsiran-tafsiran yang merumitkan seperti yang cuba diajukan di dalam surat tunjuk sebab tersebut.”
Katanya beliau merujuk kepada satu surat tunjuk sebab yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung bertarikh 23 Februari 2026.
“PKR cuba menafsirkan kenyataan bahawa saya berhasrat untuk bertanding di kerusi parlimen Pandan dalam PRU16 tetapi bukan atas tiket PKR, sebagai satu pengisytiharan keluar parti yang menggugurkan kedudukan saya sebagai ahli parlimen dan mengosongkan kerusi parlimen Pandan.”
Kata Rafizi temu ramah beliau dengan Sin Chew Daily, seperti yang dirujuk di dalam surat tunjuk sebab itu, mempunyai maksud seperti yang boleh difahami oleh sesiapa yang mempunyai penguasaan bahasa Melayu yang baik.
Pihak Setiausaha Agung PKR telah beri beliau tempoh lima hari jawab surat tunjuk sebab bertarikh 23 Februari itu.- 28/2/2026



