
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang Fahmi Zainol digantung semua jawatan…
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah gantung semua jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang , Fahmi Zainol berkuat kuasa serta-merta berikutan pendakwaan terhadap beliau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya di Mahkamah Majistret Balik Pulau pada 27 Februari.
Mengikut pertuduhan Fahmi, 35, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Nur Hidayah Abd Jabar, 35, di kediaman mereka di No. 3, Persiaran Pantai Jerejak 11, Bayan Lepas dalam kejadian 22 Februari lalu.
Mahkamah membenarkan Fahmi yang mengaku tidak bersalah diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula 28 April depan.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Fuziah Salleh berkata, keputusan gantung semua jawatan Fahmi dicapai dalam mesyuarat MPP yang berlangsung hari ini.
Katanya, penggantungan jawatan parti itu akan berterusan sehingga kes mahkamah melibatkan Fahmi itu diputuskan.
“Berhubung jawatan beliau di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Setiausaha Agung Keadilan akan mengutuskan surat kepada Ketua Menteri dalam masa terdekat,” katanya.-1/3/2026



