
SARA bulanan mula dikreditkan ke dalam MyKad
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bulanan mula dikreditkan ke dalam MyKad penerima yang layak bermula hari ini.
Kementerian Kewangan (MoF), menerusi perkongsian di media sosial, memaklumkan bantuan berjumlah RM100 diberikan kepada penerima isi rumah Sumbangan Tunai Rahmah (STR), manakala RM50 disalurkan kepada warga emas dan bujang.
Bagi kategori penerima STR dan eKasih pula, bantuan yang dikreditkan ialah RM200 untuk isi rumah, RM150 bagi warga emas dan RM100 untuk bujang.
Barangan runcit asas yang diluluskan boleh dibeli di pasar raya atau kedai runcit terpilih di seluruh negara menggunakan MyKad.
SARA ialah program bantuan bersasar kepada golongan yang paling terkesan akibat peningkatan kos sara hidup, selain bertujuan meningkatkan taraf ekonomi rakyat rentan di bawah Belanjawan 2026.-2/3/2026



