FOKUS

Kurang dua sokongan…Dewan Rakyat tak lulus RUU pindaan perlembagaan hadkan tempoh jawatan PM 10 tahun

Hasrat kerajaan untuk mengehadkan tempoh 10 tahun jawatan Perdana Menteri bagi memperkukuhkan reformasi institusi dan pembaharuan kepimpinan tidak kesampaian.

Ini berlaku bila sidang Dewan Rakyat pada Isnin tidak meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 yang berkenaan setelah gagal mendapatkan sokongan dua pertiga Ahli Parlimen seperti yang diwajibkan.

Ia kekurangan dua sokongan untuk mencapai jumlah 148 sokongan yang diperlukan bagi dua pertiga.

Hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.

Keputusan undi belah bahagian itu diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, selepas ia dibahaskan oleh seramai 41 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.

Ia sekali gus menyaksikan RUU yang pertama kali dibentang, membabitkan pindaan kepada Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan gagal dibawa untuk bacaan kali ketiga dan kemudiannya diluluskan.

RUU ini dibentang bagi bacaan kali pertama pada minggu lalu oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

Bacaan kali kedua pula dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, diikuti sesi perbahasan oleh Ahli Parlimen.

Anwar ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua berkata cadangan pindaan RUU terbabit tidak mengubah asas demokrasi berparlimen dan tidak menjejaskan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Cadangan pindaan itu, katanya yang dirangka selaras dengan kerangka Perlembagaan Persekutuan tidak mengurangkan peranan Dewan Rakyat dalam menentukan kepercayaan kepada kerajaan.

Sebaliknya, cadangan itu, kata Perdana Menteri, memperkukuh struktur perlembagaan melalui satu peruntukan yang jelas bagi mengukuhkan sistem semak dan imbang negara.

Azalina ketika menggulung RUU itu menegaskan, pindaan ini dirangka dan dibentangkan sepenuhnya dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan dengan penghormatan yang tidak berbelah bagi terhadap institusi Raja-Raja.

Katanya, perlembagaan sendiri sudah diperuntukkan secara jelas kategori pindaan yang memerlukan persetujuan Majlis Raja-Raja di bawah Perkara 1595 dan Perkara 38(4).

“Pindaan ini tidak termasuk dalam mana-mana kategori itu dan tidak menyentuh kedaulatan prerogatif atau kedudukan Raja-Raja. Justeru itu, kerajaan bertindak selaras dengan prosedur ditetapkan oleh Perlembagaan iaitu melalui mekanisme Perkara 159(3),” katanya.

Beliau berkata, menetapkan had tempoh tidak menyentuh prerogatif baginda, sebaliknya mentakrifkan parameter kelayakan individu yang boleh dipertimbangkan, justeru tidak timbul soal mengurangkan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Ia soal memperkemaskan prinsip akauntabiliti dalam jawatan eksekutif tertinggi tanpa mengubah struktur pelantikan. Kuasa melantik kekal kepada baginda. Sokongan majoriti kekal pada Dewan Rakyat. Had tempoh hanya menentukan bahawa kuasa itu tidak boleh dipegang tanpa batas.

“Had 10 tahun dipilih kerana ia ukuran masa yang objektif, seragam dan selaras dengan struktur perlembagaan yang tidak mengikat jawatan Perdana Menteri kepada penggal tetap memandangkan Parlimen boleh digubal lebih masa.

“Pendekatan ini mengelakkan ketidakpastian tafsiran mengenai penggal di samping mengekal ruang yang mencukupi untuk kesinambungan dasar dan kestabilan pentadbiran tanpa membenarkan penumpuan kuasa yang terlalu lama,” katanya.

Katanya, pindaan kepada Perkara 43 berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri juga tidak menyentuh mana-mana perkara dinyatakan di bawah Perkara 159(5), Perkara 70, Perkara 71, Perkara 72(4), Perkara 152 serta Perkara 153.

“Ia ada antara lain tidak mengubah keutamaan Raja-Raja. Tidak menjejaskan jaminan Perlembagaan Negeri. Tidak menyentuh Bahasa Kebangsaan. Tidak menyentuh Perkara 153 dan tidak melibatkan kewarganegaraan.

Kalangan Ahli Parlimen blok pembangkang menyuarakan bantahan pada RUU itu kerana mendakwa langkah hadkan tempoh jawatan Perdana Menteri akan menghakis kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Ada juga yang mendesak agar cadangan RUU ini mendapat perkenaan Majlis Raja Raja terlebih dahulu.

Sementara itu Ahli Parlimen Bebas Bukit Gantang Syed Abu Hussin kata beliau tidak undi kerana mahu Anwar jadi Perdana Menteri lebih lama.

Beliau berpendapat tempoh 10 tahun terlalu singkat dan kalau seseorang itu bagus harus diberi peluang berkhidmat lebih lama.- 2/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button