
Kes pijak al-Quran: Pelajar IPT mengaku tidak bersalah
Seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) didakwa di Mahkamah Sesyen di Kuantan hari ini atas pertuduhan mencemarkan al-Quran dan melakukan hantaran komunikasi jelik melampau di media sosial bulan lepas.
Bagaimanapun, tertuduh S Vikneswaran, 21, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Harmi Thamri Mohamad dan minta dibicarakan.
Mengikut kertas pertuduhan, lelaki itu telah mencemarkan suatu benda yang dipegang suci oleh penganut Islam iaitu al-Quran dengan niat hendak mengaibkan agama itu di Jalan Gambang, Taman Seri Mahkota di sini kira-kira 1.30 tengah hari pada 22 Feb lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa telah menggunakan akaun laman portal Threads “ryandaselva” secara sedar telah membuat dan melakukan penghantaran suatu komunikasi yang jelik melampau sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
– Bernama -3/3/2026
Pijak al-Quran: Saya tidak akan tolak ansur sama sekali – PM
Kerajaan MADANI menegaskan tidak akan sesekali membenarkan mana-mana pihak menghina al-Quran di negara ini dalam apa jua bentuk, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Merujuk insiden memijak al-Quran baru-baru ini, beliau menegaskan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang dijalankan dan masyarakat diingatkan supaya bersabar serta tidak tergesa-gesa menunggu keputusan.
“Ini negara hukum. Kita tidak boleh mengetepikan prinsip undang-undang dalam sebarang tindakan.
“Islam ialah agama Persekutuan dan kita tidak boleh memandang ringan sebarang bentuk penghinaan, bukan sahaja terhadap Islam tetapi juga terhadap agama lain di negara ini, demi mengekalkan keharmonian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Pemimpin Masyarakat Tempatan bersama Perdana Menteri di Kompleks Seri Perdana, di Putrajaya, hari ini.
Turut hadir Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan; dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby; serta Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM) Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.
Sementara itu, Anwar menafikan dakwaan segelintir pihak bahawa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap insiden penghinaan agama Islam, termasuk perbuatan memijak al-Quran.
“Apabila ada laporan mengenai penghinaan atau perbuatan memijak al-Quran, siapa kata tiada tindakan? Ada tindakan. Jangan bersikap tergopoh-gapah dan tidak sabar.
“Polis sudah mengambil tindakan dengan menahan individu terbabit dan menjalankan siasatan. Sama ada dia siuman atau tidak, itulah yang sedang disiasat,” katanya
Beliau berkata, segala tindakan perlu berlandaskan undang-undang sedia ada dan kerajaan sentiasa tegas terhadap isu berkaitan penghinaan agama.
“Ada reaksi tidak sabar, kononnya nampak tolak ansur. Saya tidak tolak ansur sama sekali dan kita harus tegas,” katanya.
Pada 25 Feb lepas, seorang penuntut Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki menghina Islam di media sosial dengan memijak al-Quran. Setakat semalam, sebanyak 28 laporan polis diterima di seluruh negara berhubung kes berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah berkata reman terhadap lelaki berusia 21 tahun itu yang tamat semalam disambung hingga Selasa ini selepas arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya bagi melengkapkan siasatan.
- Bernama -1/3/2026



