FOKUS

RUU had 10 tahun PM akan dibentang semula pada Jun ini

Setelah gagal mendapat kelulusan pada Isnin….Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2026 bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun akan dibentang sekali lagi pada sidang Dewan Rakyat Jun ini.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, hari ini.

“Kita akan pastikan Ahli Parlimen kerajaan hadir dan beri sokongan penuh untuk meluluskan pindaan penting ini,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet.

Isnin lalu Dewan Rakyat tidak meluluskan pindaan tersebut selepas gagal memperoleh majoriti dua pertiga kerana kurang dua undi..

Daripada undian belah bahagian yang diumumkan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul, seramai 146 Ahli Parlimen menyokong, manakala 32 tidak hadir dan 44 berkecuali.

Antara puncanya ialah lapan Ahli Parlimen yang sokong kerajaan tidak hadir.

Fahmi beritahu dua daripada mereka telah mengemukakan penjelasan bertulis kepada Ketua Whip, manakala enam lagi masih dinantikan.

Beliau menjelaskan terdapat salah faham dalam kalangan beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang menyangka undian tersebut bertujuan memberi tempoh 10 tahun kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Tegasnya, pindaan ini bukan untuk mana-mana individu. Ia bagi memastikan tidak wujud situasi seseorang Perdana Menteri merasakan dirinya boleh berkuasa tanpa had tempoh,” katanya.

Kerajaan berharap pada sidang akan datang, semua pihak termasuk pembangkang dapat menyokong pindaan berkenaan yang disifatkan tidak bersifat partisan, sebaliknya demi memperkukuh demokrasi dan kestabilan politik negara.- 4/3/2026

Inilah lapan Ahli Parlimen sokong kerajaan yang tak hadir undi RUU had tempoh PM 10 tahun…

Semua Ahli Parlimen Pakatan Harapan hadir dan semua undi menyokong Rang Undang-Undang (RUU) bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada maksimum 10 tahun `yang gagal dapat kelulusan di Dewan Rakyat, semalam kerana kurang dua undi.

RUU itu gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Parlimen, yakni 148 apabila hanya 146 Ahli Parlimen menyokong, sementara 32 Ahli Parlimen tidak hadir dan 44 Ahli Parlimen berkecuali.

Seramai lapan Ahli Parlimen yang menyokong kerajaan  tidak hadir dalam sesi itu ialah tiga daripada Barisan Nasional (BN), manakala masing-masing seorang daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Bangsa Malaysia (PBM) serta dua Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan.

Mereka Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, Datuk Henry Sum Agong (Lawas), Riduan Rubin (Tenom), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Suhaimi Nasir (Libaran), Datuk Seri M Saravanan (Tapah), Datuk Larry Soon (Julau) dan Datuk Seri Dr Jeffrey@ Kitingan (Keningau).

Jurucakap kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata  setiap dari mereka bila ditanya kenapa tidak berada di Dewan Rakyat ada yang memberikan pelbagai alasan antaranya berada di hospital dan ‘tersangkut’ dalam kesesakan lalu lintas.

Beliau beritahu demikian pada sidang media selepas perasmian Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) di Menara 2 Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), di Cyberjaya Selasa.

“Kita sudah membuat semakan dengan Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) dan juga Pejabat Ketua Whip mengenai Ahli Parlimen tidak hadir,”katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Bebas Bukit Gantang, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pula dilaporkan berkata beliau sengaja tidak menyertai undian itu kerana mahu Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal lebih lama sebagai Perdana Menteri.

Fahmi kata Ahli Parlimen yang gagal hadir atau mengundi RUU tersebut perlu memberi penjelasan kepada kepimpinan parti masing-masing serta pengundi mereka.

Beliau turut memaklumkan bahawa ketua whip kerajaan, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sebelum ini telah mengarahkan semua Ahli Parlimen kerajaan supaya hadir semasa bacaan kali kedua usul berkenaan.

Tambahnya, RUU itu boleh dibentangkan semula pada sesi Parlimen akan datang tanpa menjejaskan kestabilan kerajaan kerana usaha mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri berasaskan prinsip akauntabiliti yang sepatutnya disokong semua ahli Parlimen.- 3/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button