Kes cederakan isteri : Fahmi Zainol digugurkan sebagai Exco Pulau Pinang 

 Fahmi Zainol yang didakwa di mahkamah  atas tuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya telah gugurkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi (Exco)  Pulau Pinang.

Fahmi ,35 juga ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak .

Pada 27 Feb lepas, Fahmi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Balik Pulau atas pertuduhan dengan sengaja mencederakan isterinya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 April ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR pada Ahad lepas memutuskan untuk menggantung semua jawatan parti yang disandang Fahmi, yang juga Naib Pengerusi PKR Pulau Pinang berkuat kuasa serta-merta susulan pendakwaan mahkamah yang sedang dihadapinya.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang mengumumkan perkara itu berkata pihaknya menerima surat rasmi daripada Setiausaha Agung PKR Datuk Dr Fuziah Salleh semalam yang memohon penggantian beliau sebagai exco kerajaan negeri.

“Saya telah bertemu Fahmi pagi tadi dan Yang Berhormat (Fahmi) menerima keputusan itu,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Komtar hari ini.

Sementara itu satu kenyataan pejabat Ketua Menteri petang Rabu beritahu ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik dari parti PKR dilantik sebagai Exco Pulau Pinang yang baharu bagi menggantikan Fahmi.

Fahmi yang juga antara ahli Exco termuda dalam pentadbiran Pulau Pinang mengangkat sumpah jawatan itu pada Ogos 2023. – 4/3/2026

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.