
Muhyiddin tutup pintu pada parti pimpinan Hamzah sertai Perikatan Nasional
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah letak tanda titik yang besar pada bekas Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Dari cakapnya seolah tiada apa yang boleh pulihkan saluitulrahim politik antara mereka.
Malah secara terbuka tegaskan beliau sendiri akan menolak permohonan parti yang diketuai Hamzah kelak untuk memohon masuk dalam gabungan Perikatan Nasional.
Beliau mengingatkan peraturan gabungan bahawa hak menerima keahlian dalam PN bukannya datang daripada satu pihak sahaja, sebaliknya dengan persetujuan parti komponen.
“Kalau dia hendak cari haluan, hala tuju, itu hal dialah. Bukan hak saya untuk mengatakan ya, di sini sana.”Saya tidak nak campur tangan. Tapi kalau dia nak masuk PN…saya akan jawab tidak boleh sebab ‘once bitten twice shy’ .
Muhyiddin menyatakan demikian dalam satu pertemuan dengan wartawan di Kuala Lumpur.
“Orang yang sudah buat berlaku macam itu, hang nak masuk balik? PN ada empat keahlian parti yang akan mempertimbangkan boleh atau tidak. Tetapi ikut pandangan peribadi saya, kalau dalam tempoh setahun dua, tidak nampak dia ok, minta maaflah, kita ini manusiakan. Tidak semudah itu,” katanya.
Hamzah diketahui umum mempunyai hubungan yang erat dengan kalangan pimpinan utama PAS yang menjadi tulang belakang PN.
Kelmarin Muhyiddin mendakwa beliau ada bukti Hamzah bertemui Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi.
Katanya hal berkenaan juga menjadi antara sebab Hamzah dipecat dari Bersatu.
Ditanya sama ada beliau ada meminta penjelasan secara bersemuka dengan Hamzah sebelum ini berhubung tindakan ‘pengkhianatan’ terbabit, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan ia dinafikan bekas Menteri Dalam Negeri berkenaan.
“Kalau saya tanya Hamzah, Hamzah kata ‘No sir, I am always your supporter. Number one supporter.’ (Tidak tuan, saya penyokong nombor satu anda). Tapi bila awak cakap begitu (tindakan dibuat Hamzah), saya sudah tidak percaya lagilah nama itu. Minta maaf.
“Apabila anda hilang keyakinan dengan seseorang seperti itu kerana ia tidak berlaku jujur …ia adalah perkara besar. Saya perlu lindungi parti saya. Takkan boleh biarkan orang rosakkan parti saya.
“Hendak saya biarkan? Sebagai pengasas saya tidak rela. Saya bercakap dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi walaupun saya seorang saja yang tinggal saya akan pertahankan BERSATU. Itu pendirian saya,” katanya.
Muhyiddin juga mendakwa Bersatu masih kukuh dan bukan seperti kapal yang sudah karam berikutan ‘pembersihan’ yang dibuat melalui pemecatan beberapa pemimpinnya sebelum ini.
“Bersatu masih kukuh, relatifnya masih kukuh. Beritahu saya kalau kata ramai sudah ikut Hamzah, berapa ratus ribu yang ikut beliau? Berapa ketua bahagian yang sudah cabut lari? Bukan semua Ahli Parlimen atau ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) …yang lain masih utuh,” katanya.
Mengenai lantikan Menteri Besar Terengganu dan Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Pengerusi PN pula Muhyiddin menolak anggapan ia jaminan dijadikan sebagai calon Perdana Menteri.
Beliau kata isu calon pemimpin yang akan diangkat sebagai Perdana Menteri jika PN memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) kelak adalah perkara berbeza dengan lantikan pengerusi gabungan itu.
Malah, bekas Perdana Menteri itu berkata, soal calon Perdana Menteri daripada PN juga belum dibincangkan lagi bersama parti rakan komponen, PAS.-4/3/2026



