
Isu calon PM: Ahmad Samsuri ‘tembak balik’ Muhyiddin
Apakah kemesraan antara Pengerusi Perikatan Nasional yang baru ,Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokthar dengan bekas penyandang jawatan itu boleh kekal mesra begini?
Gambar diatas diambil semasa Menteri Besar Terengganu itu kunjungi Presiden Bersatu itu di rumahnya di Bukit Damansara pada awal bulan Januari lalu.
Kunjungan itu mencetuskan spekulasi hangat bahawa Ahmad Shamsuri yang juga Naib Presiden PAS mungkin dilantik ambilalih jawatan Pengerusi PN ekoran perletakan jawatan Muhyiddin.
Kini isu jawatan jawatan nombor satu PN sudah beres dimana Ahmad Samsuri sah diumum sebagai Pengerusi PN.
Namun ada sesuatu suasana ‘kurang beres’ dikesan oleh para pemerhati politik apabila Muhyiddin dalam satu pertemuan dengan wartawan di Kuala Lumpur beberapa hari lalu dikatakan seolah persoal kredibiliti Ahmad Shamsuri.
Muhyiddin kata pelantikan Ahmad Samsuri sebagai Pengerusi PN yang baru tidak bermakna Naib Presiden PAS berkenaan secara automatik akan diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
Tegasnya pelantikan jawatan tertinggi gabungan tersebut dan penentuan calon nakhoda kerajaan bagi PRU ke-16 adalah dua perkara yang berbeza.
Pada awal petang ini, Menteri Besar Terengganu itu telah muatnaik kenyataan ringkas di laman facebooknya sentuh komentar Muhyiddin yang berkenaan.
Katanya : “Saya mendapat banyak pertanyaan wartawan mengenai kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa “Dr Sam adalah Pengerusi Perikatan Nasional dan bukan calon PM”.
Siapa pun calon, keutamaan kita sekarang adalah memperkukuhkan Perikatan Nasional dan memantapkan muafakat seluruh negara demi menghadapi pilihan raya dengan lebih bersedia.
Yang pasti TSMY juga bukan lagi calon PM.”
Bunyinya agak menyengat.
Sesiapa yang faham lenggok bahasa politik bolehlah buat tafsiran masing-masing.- 5/3/2026



