
Konflik Asia Barat : Dunia Islam masih tiada upaya nyata pendirian
Pergolakan di Asia Barat yang berlaku hari ini menjadi bukti pentingnya untuk memperkukuh perpaduan dan keberanian menyatakan pendirian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata konflik itu jelas menunjukkan dunia Islam hari ini masih tiada upaya untuk menyatakan pendirian dengan jelas.
“Perkembangan ini menggusarkan kita dan menunjukkan kelemahan ketara dunia Islam untuk menyuarakan pandangan secara bersama. Bukan untuk berperang, tetapi untuk menyatakan pendirian secara jelas pun tiada upaya.
“Boleh dikira dengan jari yang mengucapkan takziah di atas kematian pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan keluarganya akibat peperangan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Sesi Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Kumpulan FELDA, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan menyeru agar masyarakat tidak lupa terhadap penderitaan dihadapi rakyat Palestin.
Katanya, derita dialami seluruh rakyat wilayah itu yang bukan sahaja meragut nyawa tapi juga memudahkan segala kemudahan dan tempat tinggal.
Menurut Anwar lagi, keadaan itu sepatutnya menjadi peringatan kepada umat Islam tentang pentingnya solidariti dan kesatuan.
Justeru itu, Anwar menegaskan keamanan dan kestabilan yang dinikmati di negara ini perlu terus dimanfaatkan.
“Kita masih mempunyai keupayaan untuk menjaga pembangunan negara, sekolah, hospital dan kemudahan rakyat.
“Gunakan keamanan yang ada ini sebaik mungkin untuk memastikan masa depan negara terus terjamin,” katanya.- 5/3/2026



