Krisis Asia Barat: Kerajaan lulus pelan evakuasi, aktifkan bila perlu – Tok Mat

Kerajaan secara dasar telah meluluskan pelan pemindahan atau evakuasi rakyat Malaysia dari kawasan berisiko di Timur Tengah dan boleh diaktifkan pada bila-bila masa sekiranya keadaan memerlukan.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata kelulusan itu membolehkan kerajaan bertindak segera tanpa perlu menunggu keputusan baharu Kabinet jika situasi keselamatan di negara berkenaan bertambah buruk.

“Pelan evakuasi itu telah diluluskan Kabinet (boleh diaktifkan bila-bila masa).Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Kementerian Luar serta agensi lain bersama-sama memantau keadaan ini dan pejabat kedutaan kita sentiasa dibuka.

“Jika keadaan benar-benar memerlukan, kita akan buat pelan evakuasi itu tetapi setakat hari ini tiada keperluan untuk mengaktifkan pelan evakuasi,” katanya selepas merasmikan Majlis Khatam al-Quran Pertubuhan Wanita Negeri Sembilan dan Persatuan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat dan Pegawai-Pegawai Kanan Negeri Sembilan, di Seremban Sabtu.

Beliau turut menasihati mereka yang berada di negara berkenaan untuk mengelakkan kawasan sensitif, termasuk pangkalan tentera kerana lokasi berkenaan dipercayai menjadi sasaran serangan balas, sekali gus berisiko kepada keselamatan.

Dalam pada itu, Mohamad berkata rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara susulan gangguan penerbangan di Timur Tengah diminta memaklumkan semula status perjalanan mereka kepada kedutaan Malaysia selepas memperoleh pengesahan penerbangan pulang.

Langkah itu penting bagi membolehkan kerajaan mengetahui jumlah sebenar rakyat yang telah pulang dan yang masih terkandas supaya urusan penyelarasan bantuan dapat dilakukan dengan lebih berkesan.

“Nasihat saya, mereka yang telah dapat kepastian daripada mana-mana syarikat penerbangan, hubungilah semula (kedutaan) dan maklumkan mereka telah dapat tempat untuk kembali ke tanah air, jadi kita tidak tertanya-tanya … jangan senyap sahaja,” katanya.

Sementara itu, beliau sekali lagi menasihati mereka yang merancang untuk menunaikan umrah supaya menangguhkan hasrat itu buat sementara waktu berikutan keadaan keselamatan di kawasan berkenaan yang masih belum stabil.

Beliau berkata bagaimanapun kerajaan melalui MKN sentiasa memantau perkembangan terkini di rantau itu dari semasa ke semasa bagi menilai tahap keselamatan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Kita akan keluarkan nasihat setiap hari mengikut perkembangan keadaan di sana sebab kita tidak dapat jangka kerana apa-apa juga boleh berlaku, tetapi seperti yang saya katakan tadi, ia tidak disasarkan kepada awam sebaliknya menyasarkan (kawasan) seperti pangkalan tentera,” katanya.

Mohamad berkata pembukaan kembali beberapa ruang udara di Timur Tengah membolehkan operasi penerbangan disambung semula secara berperingkat, sekali gus membantu usaha membawa pulang penumpang yang sebelum ini terkandas.

Setakat semalam sebanyak 2,367 rakyat Malaysia dilaporkan masih terkandas di beberapa negara termasuk Jeddah, Qatar, Madinah dan Abu Dhabi. – BERNAMA 7/3/2026

Konflik Asia Barat: Kumpulan pertama rakyat Malaysia terkandas di Dubai selamat tiba ke tanah air

Sekumpulan rakyat Malaysia yang terkandas di Dubai sejak 28 Februari lepas selamat tiba ke tanah air Khamis malam dengan penerbangan Emirates EK342.

Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 pada jam 9.40 malam.

Difahamkan mereka ialah kumpulan pertama yang berjaya kembali ke tanah air selepas enam hari terkandas di Dubai susulan penutupan ruang udara akibat konflik di Asia Barat.

Gelombang serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran pada akhir bulan lepas serta serangan balas Teheran terhadap pangkalan tentera AS di seluruh rantau itu telah memaksa sebahagian besar ruang udara di Asia Barat ditutup sekali gus memberi kesan kepada penerbangan di seluruh dunia.

Sekurang-kurangnya lapan negara mengumumkan penutupan ruang udara masing-masing apabila konflik tercetus termasuk Iran, Iraq, Jordan, Qatar, Bahrain, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berkongsi pengalaman, Pirativ Rao, 30, berkata, beliau dan ibu bapanya menyertai rombongan percutian ke Eropah pada 17 Februari lepas namun terkandas di Dubai ekoran penutupan ruang udara.

“Seramai 18 orang dalam rombongan itu memulakan perjalanan pada 17 Februari lepas dan sepatutnya pulang ke Malaysia melalui Dubai pada 28 Februari lepas tetapi penerbangan kami dibatalkan selepas berita pengeboman di Iran tersebar,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, mereka terpaksa berlindung di hotel sepanjang tempoh tersebut namun bersyukur kerana Kerajaan UAE dan syarikat penerbangan Emirates menyediakan kemudahan penginapan serta makanan kepada penumpang yang terkandas.

“Pengalaman paling mencemaskan berlaku apabila sistem amaran kecemasan mengeluarkan notifikasi mengenai kemungkinan serangan peluru berpandu.

“Kemudian kami menerima amaran sekitar 1 pagi supaya menjauhi tingkap dan kawasan tinggi… kami panik dan terus dibawa turun (oleh pihak hotel) ke tingkat bawah untuk berlindung,” katanya.

Rao berkata, mereka turut mendengar beberapa letupan pada waktu malam yang dipercayai berpunca daripada sistem pertahanan yang memintas peluru berpandu.

“Kami tidak dapat tidur sepanjang malam kerana bunyi letupan dan amaran…ia pengalaman yang sangat menakutkan kerana kami tidak pernah melalui situasi seperti itu sebelum ini… kami rasa sangat bersyukur akhirnya dapat pulang ke Malaysia dengan selamat,” katanya.

Sementara itu, mutawif umrah Shaifuddin Hashim, 63, yang terkandas di Jeddah pula melahirkan kesyukuran selepas selamat tiba ke tanah air.

Beliau berkata, penerbangan asalnya dijadualkan pada 1 Mac namun dimaklumkan akan ditangguh sebaik sahaja mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz.

“Alhamdulillah, tempat penginapan selesa dan makan juga disediakan… kami hanya menunggu sehingga dimaklumkan penerbangan pada 5 Mac telah disahkan,” katanya.

Shaifuddin juga berkata, suasana di Jeddah ketika itu dilihat seperti biasa tanpa sebarang rasa panik.

“Sepanjang empat hari kami berada di sana, suasana berjalan seperti biasa… orang ramai juga kelihatan menjalankan aktiviti seperti biasa,” katanya. – Bernama

This site uses cookies to offer you a better browsing experience. By browsing this website, you agree to our use of cookies.