
Heboh Khairy nak mohon masuk balik UMNO…
Kalau akhirnya menjadi satu kenyataan ia bukan sesuatu kejutan atau menghairankan.
Malah ramai pemerhati yang menilai dari lenggoknya Khairy Jamaluddin selama ini nampak jelas beliau hendak kembali ke pangkuan UMNO.
Heboh sikit sejak Jumaat malam bila bekas Ketua Pemuda UMNO dan bekas Menteri Kesihatan itu menyuarakan hajat kembali menyertai parti itu menerusi agenda ‘Rumah Bangsa’.
Ini timbul semasa rakaman audio siar ‘Keluar Sekejap’ yang dikendali Khairy.
Beliau mengarahkan Setiausaha Akhbarnya, Raja Syahrir Raja Abu Bakar, membuat draf surat permohonan untuk tujuan itu.
Pada Jumaat Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi kata parti itu membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian, untuk kembali menyertai UMNO tanpa syarat.
Menurut Zahid pelawaan menyertai UMNO bawah inisiatif ‘Rumah Bangsa’ itu turut dibuka kepada mana-mana individu yang mahu bersama perjuangan parti berkenaan.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian berdasarkan Perlembagaan UMNO.
“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air serta memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya.
Ulas Khairy “Saya melihat ini sebagai perkembangan positif dan peluang murni bagi saya secara peribadi.
“Bolehlah Bobby (Raja Syahrir) mula draf surat (permohonan menyertai inisiatif Rumah Bangsa)… saya hendak tengok draf surat berkenaan,” kata Khairy.
Khairy dipecat dari UMNO pada Januari 2023 atas dakwaan langgar disiplin.
Sebelum itu beliau yang kritkal pada Zahid bertanding pilihanraya umum ke 15 di kerusi Parlimen Sungai Buloh dan tewas 2,693 undi pada calon PKR Datuk R Ramanan yang kini Menteri Sumber Manusia.
Pada Perhimpunan Agung UMNO baru ini Khairy telah dijemput Ketua Pemuda UMNO,Datuk Dr Akmal Salleh hadir pada acara perasmian perhimpunan pergerakan itu di WTC.
Sekalipun sejak itu tidak ada jemputan rasmi dari pimpinan UMNO agar beliau kembali ke parti itu namun desas desus hangat terus berlegar mengenai kemungkinan itu.
Semasa di luar UMNO Khairy tidak pernah bayangkan beliau hendak sertai mana-mana parti lain.
Sebaliknya pernah kata kalau diberi pilihan beliau hendak kembali pada UMNO.- 7/3/2026
UMNO buka pintu, jemput ahli dipecat, digantung kembali sertai parti
UMNO membuka pintu seluas-luasnya kepada mana-mana bekas ahli yang pernah dipecat, digantung keahlian dan individu yang ingin bersama dalam perjuangan parti untuk menyertai UMNO.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dalam semangat Ramadan yang penuh rahmat dan keampunan, segala kekhilafan serta perbezaan lalu dimaafkan sepenuhnya bagi membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh kembali keluarga besar UMNO.
Sehubungan itu, beliau berkata, Jawatankuasa Rumah Bangsa yang dipengerusikan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan menyelaraskan proses berkenaan dengan segera melalui tatacara bersesuaian berdasarkan Perlembagaan UMNO.
“Semoga usaha ini dipermudahkan oleh Allah Subhanahuwataala dan menjadi titik penyatuan yang memperkukuh kembali kekuatan parti dalam meneruskan kelangsungan agenda perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air serta memastikan masa depan lebih baik untuk rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, UMNO melihat kesempatan bulan Ramadan sebagai waktu terbaik untuk mempertautkan kembali tali perjuangan parti dengan mengambil keberkatan bulan mulia itu yang mengajak umat Islam bermuhasabah, memperbaiki hubungan dan memperkukuh ukhwah.
Beliau berkata, sesebuah parti tidak hanya bergantung kepada kekuatan struktur organisasi tetapi terbina atas sokongan, dukungan dan kebersamaan seluruh ahlinya di setiap peringkat.- Bernama- 6/3/2026



