FOKUS

Harga RON95: PM kata petanda awal tidak begitu baik…

Ekoran krisis di Asia Barat…Perdana Menteri kata kerajaan akan cuba kawal harga RON95 pada kadar harga RM1.99 seliter sekarang tetapi petanda-petanda awal tidak begitu baik dan menyenangkan

“Dalam keadaan sekarang, nampak masih terkawal tetapi kita tahu kapal-kapal minyak dan gas tersangkut di Selat Hormuz sudah melebihi 200 kapal. Ini tentunya akan menjejaskan dari segi perniagaan, begitu juga kos pengangkutan kerana jalan lebih jauh terpaksa digunakan.

Serentak itu Datuk Seri Anwar Ibrahim turut meminta rakyat negara ini agar tidak memandang ringan konflik berkenaan kerana ia turut akan memberi kesan kepada ekonomi negara.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,000 jemaah di Musolla IOI City Mall dekat Purajaya Jumaat.

“Saya syor supaya semua masyarakat, rakyat, kalangan penjawat awam, pekerja, peniaga agar waspada tentang perkara ini. Jangan pandang ringan kerana ia akan menjadi satu krisis ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangka.

“Kerajaan akan ambil langkah segera kerana kesan ekonomi kalau keadaan ini berlanjutan tidak dapat dielakkan. Kos barangan, kos import bagi syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) dan juga import umumnya barang makanan akan meningkat,” katanya.

Anwar berharap media tempatan memainkan peranan berkesan dalam melaporkan perkembangan mengenai konflik berkenaan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat terkini serta bersiap sedia terhadap sebarang implikasi ekonomi.

“Saya lihat sekarang ini media nampak kurang tumpuan seperti apa yang dilaporkan oleh negara-negara jiran dan negara-negara lain. Jadi saya tidak mahu pandangan yang selesa, perbelanjaan tidak kawal, amalan boros dan membazir. Minta tolong berjaga-jaga daripada sekarang,” katanya.

Selat Hormuz merupakan selat sempit antara Iran dan Oman yang mempuyai kelebaran 55 kilometer dan merupakan antara laluan perkapalan utama bagi sektor industri gas dan minyak. – 5/2/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button