Syarikat penerokaan laut dalam, Ocean Infinity menamatkan operasi pencarian terbaharu pesawat MH370 di Lautan Hindi tanpa menemui sebarang maklumat atau data baharu berkaitan pesawat yang hilang itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Ocean Infinity, Oliver Plunkett, berkata kapal syarikat itu secara rasmi meninggalkan zon pencarian 23 Januari lalu dalam usaha terbaharu untuk menjejak MH370.
Sejak memulakan misi ini pada 2018, syarikat itu telah menghabiskan 151 hari di laut dan memetakan lebih 140,000 kilometer persegi dasar laut.
“Adalah penting bagi kami memanfaatkan setiap maklumat dan data yang ada serta kembali melakukan pencarian, namun walaupun dengan segala usaha itu, kami masih belum dapat menemuinya,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di laman web syarikat semalam.
Plunkett berkata, skala operasi pencarian itu, dari segi kawasan geografi dan teknologi, hampir mustahil untuk dibayangkan, namun beliau menyatakan kebanggaan terhadap usaha pasukan serta teknologi canggih yang digunakan sepanjang misi berkenaan.
Beliau berkata gabungan ketelitian saintifik, teknik automasi, robotik serta pengalaman organisasi yang lebih luas membolehkan operasi pencarian dilakukan dengan tahap ketepatan dan kelajuan yang tidak dapat dibayangkan pada 2018.
“Saya berharap mereka di seluruh dunia yang begitu mengambil berat tentang perkara ini mengetahui bahawa walaupun kita tidak memperoleh keputusan yang diharapkan, ramai orang telah melakukan yang terbaik,” katanya.
Walaupun tidak mencapai hasil yang diinginkan, Plunkett menegaskan bahawa kawasan yang telah diperiksa kini boleh diketepikan, sekali gus memberikan kejelasan penting untuk usaha pencarian pada masa depan.
“Jika tidak pun, kita boleh mengatakan dengan yakin bahawa pesawat itu bukan berada di kawasan yang telah kita periksa.
“Itu penting kerana ia memberikan kejelasan dan membantu mereka yang terus mengkaji bukti untuk memperhalusi analisis serta merangka strategi pencarian akan datang,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada keluarga mangsa, kerajaan Malaysia dan Australia serta pelbagai individu dan syarikat yang terlibat dalam usaha berkenaan.
“Ocean Infinity kekal komited terhadap misi jangka panjang untuk mencari pesawat yang hilang itu.
“Walaupun fasa pencarian ini telah berakhir, komitmen kami tidak. Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dengan harapan dapat kembali menyambung pencarian apabila keadaan mengizinkan,” katanya.
Pesawat MH370 milik Malaysia Airlines hilang daripada radar pada 8 Mac 2014 ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, membawa 239 penumpang dan anak kapal.
Pada 3 April tahun lalu, kerajaan Malaysia menandatangani perjanjian dengan syarikat penerokaan laut dari United Kingdom itu untuk menyambung semula operasi pencarian MH370. – BERNAMA -9/3/2026
Pencarian MH370 di selatan Lautan Hindi masih tiada petunjuk
Operasi pencarian baharu bagi mengesan bangkai pesawat Malaysia Airlines MH370 di kawasan baharu di selatan Lautan Hindi masih belum menemukan sebarang petunjuk lokasi pesawat berkenaan.
Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), Kementerian Pengangkutan memaklumkan pada 25 Mac tahun lepas, kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian dengan Ocean Infinity untuk melaksanakan operasi pencarian dasar laut bagi mengesan bangkai pesawat penerbangan MH370 di kawasan baharu dianggarkan seluas 15,000 kilometer persegi di selatan Lautan Hindi.
Menurut kenyataan AAIB, operasi berkenaan adalah mengikut prinsip “tiada penemuan, tiada bayaran”, yang dijalankan dalam dua fasa iaitu Fasa 1 antara 25 hingga 28 Mac, manakala Fasa 2 dari 31 Dis 2025 hingga 23 Jan 2026.
“Secara keseluruhannya, sebanyak 28 hari operasi pencarian dilaksanakan merangkumi kedua-dua fasa selepas perjanjian dimeterai, dengan tinjauan meliputi kira-kira 7,571 kilometer persegi dasar laut dalam kawasan pencarian ditetapkan.
“Ocean Infinity telah memaklumkan bahawa aktiviti tinjauan tambahan turut dijalankan dalam kawasan pencarian yang lebih luas sebelum perjanjian rasmi dimeterai pada Mac 2025, sebagai sebahagian daripada usaha menyokong operasi pencarian,” menurut kenyataan itu.
Menurut AAIB, operasi berkenaan turut mengalami gangguan secara berkala akibat keadaan cuaca dan laut, dengan Fasa 2 berakhir pada 23 Jan tahun ini.
“Sehingga tarikh kemas kini ini, aktiviti pencarian yang dijalankan belum menghasilkan sebarang penemuan yang mengesahkan lokasi bangkai pesawat berkenaan,” menurut kenyataan itu.
AAIB memaklumkan kerajaan kekal komited menyalurkan maklumat dan perkembangan terkini kepada keluarga yang terlibat.
Pesawat Malaysia Airlines MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 239 penumpang serta anak kapal.
Meskipun operasi pencarian, iaitu antara yang terbesar dalam sejarah penerbangan, telah dijalankan secara bersama oleh Malaysia, Australia dan China, pesawat berkenaan masih gagal dikesan dalam zon pencarian utama di selatan Lautan Hindi.
Sejak itu, beberapa serpihan pesawat yang disahkan atau dipercayai berasal daripada MH370 telah ditemukan di sepanjang pantai di barat Lautan Hindi termasuk Mozambique, Madagascar dan Pulau Reunion.
- Bernama – 8/3/2026

