YANG VIRAL

Prof Diraja Syed Muhammad Naquib meninggal dunia… Kerajaan dan rakyat ucap takziah – PMX

Tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari, Profesor Diraja Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, meninggal dunia pada pukul 6.47 petang 8 Mac.

Jenazah Allahyarham dijangka disolatkan di Masjid Al-Taqwa pada pagi Isnin (9 Mac) sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Dilahirkan pada tahun 1931 di Bogor, Jawa Barat, Indonesia, Allahyarham dikenali sebagai antara tokoh intelektual Islam paling berpengaruh dalam dunia Islam moden.

Sepanjang hayatnya, beliau memberikan sumbangan besar kepada perkembangan pemikiran Islam, khususnya dalam bidang falsafah, sejarah, teologi dan pendidikan.

Allahyarham juga merupakan pengasas Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), yang berkembang sebagai pusat penting pengajian pemikiran Islam di peringkat antarabangsa.

Sepanjang kerjaya akademiknya, beliau menghasilkan lebih 30 buku serta monograf yang menjadi rujukan penting dalam kajian falsafah dan peradaban Islam.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa dukacita atas pemergian Syed Muhammad Naquib yang disifatkannya sebagai antara pemikir teragung pada zaman ini.

Menurut beliau, Syed Muhammad Naquib bukan sekadar seorang ahli falsafah, malah tokoh yang mengangkat persoalan besar tentang makna dan tujuan ilmu pengetahuan dalam kehidupan manusia.

Melalui karya-karya pentingnya seperti Islam and Secularism serta Prolegomena to the Metaphysics of Islam, Syed Muhammad Naquib telah mencabar proses pensekularan ilmu dan meletakkan asas intelektual bagi pembentukan pandangan alam Islam.

“Malaysia mendengar suara beliau, dan dunia Islam turut mengambil manfaat daripada pemikirannya,” kata Anwar dalam satu kenyataan.

Syed Muhammad Naquib meninggal dunia pada malam ke-19 Ramadan pada usia 95 tahun.

Bagi pihak kerajaan dan rakyat Malaysia, Anwar turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.

“Semoga Allah SWT mengurniakan rahmat-Nya kepada beliau dan menempatkannya di kedudukan tertinggi dalam kalangan orang-orang yang soleh. Al-Fatihah,” katanya.-9/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button