TAHUKAH ANDA

Kerajaan ikhtiar pertahan harga RON95 RM1.99 seliter

Kerajaan kini melaksanakan ikhtiar terbaik bagi membolehkan harga subsidi RON95 dikekalkan pada paras RM1.99 seliter, susulan konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, meskipun harga minyak dilapor semakin meningkat, keadaan di negara ini masih lagi terkawal dengan ketetapan subsidi RON95 pada harga yang rendah agar tidak membebankan rakyat.

“Walaupun kita tahu ketimbang dengan negara-negara lain masih terkawal. Harga minyak hari ini, harga Brent satu barel sudah naik 100 dolar Amerika.

“Kita masih bertahan dengan RM1.99 Budi95. Kita akan jalankan ikhtiar maksimum mungkin supaya tidak membebankan rakyat dan cuba,” ujarnya.

Beliau berucap demikian pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini.

Turut hadir, Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Menyentuh mengenai perkembangan geopolitik antarabangsa, Anwar sekali lagi menyatakan sokongan Malaysia terhadap Iran dalam mempertahankan kedaulatan negaranya, susulan serangan ganas rejim Israel dan Amerika Syarikat (AS).

“Sebab itu kita juga di antara yang terpanggil untuk menghubungi juga Iran dan negara sahabat untuk menyatakan pertama sokongan kita kepada Iran dalam pertahankan negara tersebut, itu konsisten dengan pendirian Malaysia selama ini.

“Tidak bersetuju dengan keganasan, tidak bersetuju dengan kerakusan kuasa dan percubaan menakluk atau mengganggu-gugat negara lain,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, pihaknya akan menerima panggilan telefon daripada Emir Kuwait dan beberapa pemimpin negara lain petang ini, bagi membincangkan kemelut yang berlaku di rantau itu.

“Kita juga melahirkan keprihatinan kerana tempias itu ke negara jiran, negara Teluk Arab, malah ke Azerbaijan, Turkiye, selain dari negara Arab dan negara Teluk.

“Oleh itu juga saya telah hubungi dengan Menteri Luar Iran meminta supaya dapat sedaya upaya kawal supaya hubungan baik di antara jiran negara Islam itu terus mantap,” tambahnya.-9/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button