Alhamdulillah…Dalam keberkatan malam ke-26 Ramadan semalam, saya menerima kunjungan saudara Khairy Jamaluddin, yang hadir menyerahkan surat rayuan untuk kembali bersama UMNO.
Inilah antara makna sebenar Rumah Bangsa. Sebuah ikhtiar untuk menemukan semula yang pernah berpisah, merapatkan kembali yang pernah berjauhan, dan menghimpunkan semula kita dalam satu keluarga besar perjuangan.
Itulah antara kata Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi dalam facebook beliau pada Isnin mengenai kedatangan Khairy serahkan sendiri surat rayuan untuk kembali ke dalam UMNO.
“Insya-Allah, secara peribadi saya telah menerima permohonan ini dan akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh YB Dato’ Seri Haji Mohamed Khaled Nordin untuk diperhalusi dan diperakukan sewajarnya,katanya.
Khairy yang dipecat dari UMNO pada Januari 2023 baru ini menyambut kenyataan Zahid untuk buka pintu kepada mereka yang digantung dan dipecat kembali kepada UMNO.

Sementara itu menerusi hantaran di Facebooknya,Khairy kata beliau serahkan permohonan rasmi agar pemecatan keahliannya dibatalkan serta-merta dan nombor keahlian asalnya diaktifkan semula.
“Saya menghargai keterbukaan dan kebesaran hati beliau (Ahmad Zahid) dalam membuka ruang untuk kita melangkah ke hadapan demi memperkukuh perjuangan parti,” katanya.
Beliau berkata, pada saat politik tanah air berdepan ketidaktentuan dan lautan bergelora, sangat penting bahtera perjuangan bangsa iaitu UMNO, yang ditubuhkan untuk menyatukan orang Melayu dan membangunkan negara untuk seluruh rakyat Malaysia diperkuatkan.
“Saya tidak minta kembali kepada bahtera bangsa ini dengan apa-apa syarat, hajat peribadi atau permintaan.
“Cukuplah untuk saya diberi peluang untuk menjadi seorang anak kapal biasa,” katanya lagi.
Jelasnya, keutamaan saat ini adalah memastikan setiap inci bahagian bahtera UMNO iaitu daripada papan yang longgar sehingga ke palka yang bocor dapat diperbaiki agar ia terus ampuh meredah ombak dan badai zaman.
“Apa yang penting, bahtera bangsa ini terus berlayar meredah ombak dan badai zaman, membawa bersama harapan besar: penyatuan sebuah bangsa yang bersatu, teguh dan bermaruah.
“Insya’Allah, I’m coming home,” katanya.-16/3/2026

