
Ini dah jadi cerita lawak…MIC nafi sertai Perikatan Nasional
Ini kes berat yang pastinya boleh bikin malu besar.Ada juga yang anggap ini sudah jadi cerita lawak.Soalnya bagaimana boleh jadi sampai begini sekali?
Kita sudah lama dengar dengar kisah parti MIC nak keluar Barisan Nasional (BN) dan masuk Perikatan Nasional (PN).
Rupanya ia sekadar cakap kosong sahaja tetapi tiada langkah rasmi diambil parti itu setakat ini untuk tujuan itu.
Hal ini baru disedari hari ini bila Setiausaha Agung PN, DatukTakiyuddin Hassan beritahu wartawan di Kota Bharu beliau akan serah surat rasmi bagi mengesahkan keahlian parti dalam PN kepada Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran malam ini.
Katanya kemasukan MIC sudah diluluskan sejak Disember tahun lalu namun ini disahkan secara rasmi pada mesyuarat PN Sabtu lalu.
Takiyuddin beritahu penyertaan MIC ini menjadikan anggota gabungan PN lima parti.
Selain MIC rakan gabungan ialah Bersatu, PAS, Gerakan dan MIPP.
Nak jadi cerita bila kalangan wartawan terus minta reaksi mengenai hal ini dari Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan…lain pula ceritanya.
Jawapan beliau yang mengejutkan ialah MIC sehingga kini belum mengemukakan sebarang permohonan rasmi untuk menyertai PN.
Katanya buat masa ini MIC masih dengan Barisan Nasional.
Beliau menjelaskan sebarang langkah untuk keluar BN memerlukan keputusan Jawatankuasa Pusat (CWC) MIC.
Cerita MIC nak keluar BN dan masuk PN sudah lama berlegar kebelakangan ini.Ini timbul kerana dikatakan wujud rasa tidak puashati pimpinan MIC mengenai beberapa isu dalam gabungan BN.
MIC sudah jadi rakan UMNO dan MCA dalam gabungan Perikatan (kapal layar) dan kemudiannya BN (dacing) sejak negara ini capai kemerdekaan lagi.- 17/3/2026



