
Trump kecam NATO dan China berkaitan Selat Hormuz
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dalam mood bergaduh dengan semua negara yang tidak setuju dengan tindakan Amerika Syarikat menyerang Iran.
Yang terbaru beliau memberi amaran kepada negara-negara Eropah bahawa masa depan NATO boleh menjadi “sangat buruk” sekiranya sekutu Barat tidak membantu membuka semula laluan penting di Selat Hormuz yang kini terganggu akibat konflik dengan Iran.
Dalam wawancara dengan akhbar Financial Times, Trump berkata negara-negara yang mendapat manfaat daripada laluan perdagangan tersebut perlu memainkan peranan untuk memastikan keselamatannya. “Saya fikir China juga patut membantu kerana China mendapat 90 peratus bekalan minyaknya melalui selat itu,” katanya.
Trump turut memberi bayangan bahawa lawatan yang dirancang ke Beijing bagi bertemu Presiden China, Xi Jinping, mungkin ditangguhkan. “Saya lebih suka mengetahui dahulu pendirian Beijing. Kami mungkin menangguhkan lawatan itu,” katanya.
Kenyataan Trump dibuat ketika Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Scott Bessent, dan Naib Perdana Menteri China, He Lifeng, memulakan rundingan perdagangan selama dua hari di Paris.
Perbincangan itu bertujuan memperincikan gencatan perdagangan antara kedua-dua negara serta membuka laluan kepada lawatan Trump ke Beijing yang dijadualkan pada akhir Mac.
Trump berkata bantuan yang diharapkan daripada sekutu boleh melibatkan penghantaran kapal penghapus periuk api dan aset ketenteraan lain untuk menangani ancaman dron serta periuk api laut di Selat Hormuz.
“Kami menyerang mereka dengan sangat kuat,” katanya merujuk kepada tentera Iran. “Mereka sudah tidak mempunyai apa-apa lagi kecuali cuba menimbulkan gangguan kecil di selat itu. Negara yang mendapat manfaat daripada laluan tersebut sepatutnya membantu kami mengawalnya,” ujar Trump.
Iran dilaporkan menutup Selat Hormuz selepas Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan terhadap negara itu pada 28 Februari lalu.
Selat sempit yang terletak antara Iran dan Oman itu merupakan laluan penting bagi perdagangan tenaga global. Kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas asli cecair dunia melalui kawasan tersebut setiap hari.
Trump turut memberi amaran bahawa Washington boleh melancarkan serangan tambahan ke atas Pulau Kharg, hab eksport minyak utama Iran. “Kami boleh menyerangnya dalam lima minit,” katanya. “Dan mereka tidak mampu melakukan apa-apa untuk menghalangnya.”
Dalam wawancara yang sama, Trump juga mengkritik reaksi Britain selepas berbincang dengan Perdana Menteri negara itu, Keir Starmer. Menurut Trump, Britain pada awalnya enggan menghantar kapal perang ke kawasan tersebut walaupun Washington meminta bantuan.
“United Kingdom mungkin sekutu nombor satu kami. Tetapi apabila saya meminta mereka datang, mereka tidak mahu datang,” katanya kepada Financial Times. Beliau menambah Britain hanya menawarkan bantuan selepas Amerika Syarikat berjaya melemahkan keupayaan ketenteraan Iran.
Sebelum itu, Trump juga menyeru negara-negara seperti China, Perancis, Jepun, Korea Selatan dan Britain menghantar kapal perang untuk memastikan laluan perkapalan di Selat Hormuz kekal terbuka.
Sehingga kini, negara‑negara tersebut belum memberi sebarang janji. Jurucakap Kedutaan China di Amerika, Liu Pengyu, berkata semua pihak bertanggungjawab memastikan bekalan tenaga global tidak terganggu, tetapi Beijing hanya akan “menguatkan komunikasi” demi meredakan ketegangan, bukan menghantar kapal perang.
Kenyataan Trump dibuat ketika kebimbangan meningkat mengenai kesan ekonomi global akibat konflik di Iran. Harga minyak antarabangsa dilaporkan meningkat melebihi AS$106 (S$135) setong dalam dagangan awal, walaupun kenaikan itu lebih sederhana daripada jangkaan sesetengah pelabur.
Setiausaha Tenaga Amerika Syarikat, Chris Wright, dalam wawancara televisyen berkata tiada jaminan harga minyak akan turun dalam masa terdekat. “Tiada jaminan bahawa harga akan jatuh dalam beberapa minggu akan datang,” katanya.
Sementara itu Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, menegaskan negara itu bersedia mempertahankan diri. “Kami bersedia mempertahankan diri selama mana yang diperlukan,” katanya kepada CBS News sambil menafikan dakwaan Trump bahawa Iran mahu mencapai perjanjian damai.
Dalam kenyataan di Telegram, Araghchi berkata Selat Hormuz terbuka kepada semua negara kecuali pihak penceroboh, termasuk Amerika Syarikat dan rejim Zionis serta pihak yang bersubahat dalam jenayah mereka.
Menteri itu turut berkata, Iran mengalu-alukan sebarang inisiatif yang boleh membawa kepada penyelesaian adil bagi perang itu.
Beliau menjelaskan bahawa penamatan perang memerlukan jaminan bahawa ia tidak akan berulang serta pampasan dibayar kepada Iran.-16/3/2026



