
Program Iftar, Malam 7 Likur: Dataran Merdeka dibanjiri warga kota, pelancong
Lebih 120,000 pengunjung memeriahkan program kemuncak Iftar Ramadan dan Malam Tujuh Likur 2026 di Dataran Merdeka yang berlangsung dua hari dan berakhir hari ini.
Menariknya tahun ini, sambutan program lebih istimewa dengan kerjasama Dewan bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Media Prima Berhad (Media Prima) selaku rakan strategik yang turut menyumbang kepada penganjuran majlis berbuka puasa mega, DBKL–Media Prima Tikar Berkat.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Fadlun Mak Ujud berkata, penampilan baharu Bangunan Sultan Abdul Samad berjaya menarik kehadiran lebih ramai pengunjung yang bukan sahaja mahu berbuka puasa, malah tidak melepaskan peluang bergambar di hadapan bangunan bersejarah itu.
“Walaupun hujan hari ini, kita anggarkan ada sekitar 50,000 pengunjung… apa yang boleh saya katakan untuk dua hari ini kira-kira 120,000 pengunjung menyertai program Iftar Ramadan ini,” katanya.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali; Ketua Pegawai Inovasi dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif bagi Kandungan dan Rangkaian Televisyen MPB, Amir Rashidi Johari serta Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran.

Sementara itu, Pengarah Pengembangan Seni Budaya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Jasmi Rasit berkata penganjuran program berkenaan menekankan konsep komuniti dengan penglibatan masyarakat dalam pelbagai aktiviti sepanjang majlis berlangsung.
Beliau berkata pemilihan Dataran Merdeka sebagai lokasi utama program itu juga bertujuan menarik penyertaan pelancong bersempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Dataran Merdeka merupakan lokasi ikonik dan bersejarah serta menjadi tarikan pelancong, selain terletak bersebelahan dengan Bangunan Sultan Abdul Samad.
“Melalui penganjuran pelbagai program sepanjang acara ini seperti gotong-royong, penyediaan bubur lambuk, aktiviti kesukarelawan serta majlis berbuka puasa beramai-ramai tanpa mengira lapisan masyarakat dan peringkat usia, ia sekali gus dapat memupuk semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Pelbagai pengisian lain turut disediakan termasuk program kerohanian, sumbangan duit raya kepada penghuni Akademi Tahfiz Al Hidayah (ATAH) serta penampilan khas selebriti terkenal tanah air sepanjang program berlangsung.
Program hari ini juga disertai oleh kumpulan pegawai muda DBKL yang akan mengadakan pengisian Rewang Memasak, selain mengagihkan sebanyak 2,000 pek rendang dan ketupat kepada pengunjung.-16/3/2026


