YANG VIRAL

Perjanjian ART Malaysia-AS tidak lagi terpakai

Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) dimeterai antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) pada Oktober tahun lalu tidak lagi terpakai berikutan keputusan Mahkamah Agung AS membatalkan sebahagian besar langkah tarif menyeluruh yang sebelum ini diperkenalkan oleh Presiden AS Donald Trump

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dalam ART ditandatangani tahun lalu itu, Malaysia dikenakan kadar tarif 19 peratus, namun buat masa ini, tarif sementara dikenakan ke atas Malaysia hanya 10 peratus

“Sekarang ini dia (Trump) pakai Seksyen 122 (Akta Perdagangan 1974 AS), dia letakkan Malaysia (tarif) 10 peratus. Jadi dalam masa lima bulan ini, dia akan ‘review’ untuk pakai Seksyen 301. Seksyen 301 apa benda? dia ada empat benda dia akan tengok.

“Ada atau tidak ‘dumping’ (lambakan) produk kita di AS melalui akses ‘capability’ yang kita ada. Kedua, ada tak kita buat pengeluaran produk yang kita hantar ke AS sebagai eksport, kita terlibat tak buruh paksa. Ada tak kita pakai pekerja dan kakitangan yang tidak sah ataupun bawah umur, jadi banyak perkaralah (yang dinilai),” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui media pada Program Sumbangan Aidilfitri 2026 di Padang Blok B7 Desa Pandan Kuala Lumpur.

Lebih 2,500 pek sumbangan Aidilfitri diagihkan kepada penduduk hari ini, termasuk di Dewan Yayasan Bena Nusa, Taman Maluri di sini, dengan keseluruhan sumbangan akan diagihkan sepanjang Ramadan berjumlah 15,000 pek.

Mengulas lanjut, Johari berkata, penilaian ketiga dalam menetapkan kadar tarif baharu itu adalah menyentuh soal persekitaran.

“Macam (penilaian) persekitaran (dikenakan) Eropah, AS pun ambil kira persekitaran juga, apa yang merosakkan persekitaran. Keempat, dia mahu tengok apabila sesebuah negara itu eksport barang dia, kerajaan bagi subsidi tak kepada pihak pengeksport.

“Kalau dia bagi subsidi pihak pengeksport, maknanya dia (negara itu) sudah menurunkan harga produk semata-mata mahu pastikan industri yang ada di sana, (kalau dia) melawan kita, dia akan kalah. Sebab kita bagi lebih murah. Itu tujuan dia,” katanya.

Beliau berkata, penilaian yang dikenakan ke atas Malaysia itu turut dilaksanakan kepada semua 60 syarikat yang berdagang dengan AS.

Sebelum ini, Johari memaklumkan, Malaysia sedang menilai dengan teliti perkembangan dasar terkini di AS termasuk mengkaji skop serta implikasi berhubung tindakan terbaharu Trump yang mengumumkan pelaksanaan tarif sebanyak 10 peratus ke atas barangan import dari semua negara.

Sehingga kini katanya, Malaysia belum meratifikasi ART biarpun sudah menandatanganinya, pada Oktober tahun lalu.-16/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button