
Pelajar IPTA sambut baik inisiatif FlySiswa
Pelajar-pelajar universiti memuji inisiatif kerajaan melalui FlySiswa yang menyediakan baucar subsidi tiket penerbangan kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) bagi laluan domestik antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
Nurhafiza Qhairani Natasya Abdul Razak, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata inisiatif tersebut tepat pada masanya selain dilihat sebagai langkah proaktif dalam membantu meringankan beban kewangan.
“Syabas dan jutaan terima kasih saya ucapkan kepada Kerajaan MADANI atas inisiatif Program FlySiswa. Pemberian baucar subsidi tiket penerbangan ini adalah bukti nyata keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan pelajar.
“Inisiatif ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol kepedulian kerajaan yang mendengar rintihan kami di menara gading,” katanya ketika dihubungi RTM.
Pelajar Sarjana Seni Kreatif, Universiti Malaysia Sabah (UMS) Mohammad Addin Alkudus berkata, program itu membantu mahasiswa pulang ke kampung halaman dengan kos lebih berpatutan.
“Program ini bertujuan meringankan beban kewangan mahasiswa untuk pulang ke kampung halaman dengan harga berpatutan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Exco Semak Imbang Majlis Perwakilan Pelajar UPM, Syahrifah Putri Alysha Syed Abu Talib berpendapat, FlySiswa sebagai langkah signifikan dalam memperkasa kebajikan mahasiswa.
“Kami ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan kepada pihak kerajaan atas inisiatif FlySiswa.
“Kami melihat inisiatif ini sebagai satu langkah yang signifikan dalam memperkasa kebajikan mahasiswa, terutama sekali bagi mereka yang perlu melintasi wilayah untuk pulang ke kampung halaman,” katanya.
Sebelum ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan memperluas bantuan subsidi tiket penerbangan FlySiswa bernilai RM400 bagi laluan domestik antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang memberi manfaat kepada kira-kira 50,000 pelajar pada tahun ini berbanding 44,000 pelajar pada 2024.-16/3/2026



