
Perang Asia Barat: Harga sayur dijangka naik sehingga 50 peratus minggu depan
Rakyat Malaysia dijangka perlu bersedia menghadapi kenaikan harga sayur-sayuran seawal minggu hadapan menyusuli kesan konflik di Asia Barat yang mula dirasai di Malaysia.
Pengerusi Persatuan Pekebun Melayu Cameron Highlands, Datuk Syed Abd Rahman Syed Abd Rashid, berkata kenaikan itu boleh berlaku dalam tempoh satu hingga dua minggu akan datang.
“Harga mungkin meningkat sehingga 50 peratus untuk tempoh singkat sebelum berpotensi stabil pada kenaikan sekitar 30 peratus,” katanya.
Setakat ini, beliau berkata belum ada kenaikan harga sayuran walaupun kos pengeluaran meningkat dengan cepat.
Katanya, faktor peningkatan kos pengeluaran termasuk kenaikan harga baja tanaman, serta diesel, yang antara lain, diperlukan bagi operasi jentera, generator dan pengangkutan.
Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata pihaknya sering menasihati pengguna supaya berjimat cermat dalam berbelanja.
Bagi mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah, beliau berkata orang ramai disaran mengusahakan tanaman secara kecil-kecilan di kawasan rumah untuk kegunaan sendiri.
Antaranya dengan menggunakan teknik hidroponik untuk tanaman seperti bayam, kangkung dan sawi.
Selain itu, beliau berkata pengguna harus membuat pilihan bijak dengan membuat perbandingan harga bagi mendapatkan produk lebih murah atau berpatutan.
“Pengguna berupaya menentukan harga barangan. Jika bijak memilih harga berpatutan, peniaga tiada pilihan kecuali menurunkan harga,” katanya.
Dalam pada itu, Nadzim juga berpendapat pihak sekolah boleh memanfaatkan ruang dalam kawasan masing-masing untuk membangunkan projek hidroponik.
Selain berkongsi hasil tanaman dengan pelajar, beliau berkata pihak sekolah juga boleh menjualnya bagi menjana pendapatan sekolah.
“Malah, program seperti hidroponik di sekolah mampu memupuk minat pelajar dalam bidang sains dan biologi,” katanya lagi.
Nadzim berkata kelab dan persatuan juga boleh memanfaatkan bangunan mereka untuk memulakan projek hidroponik kecil-kecilan, termasuk bagi menampung keperluan ahli.
Media sebelum ini melaporkan harga barangan asas dijangka meningkat akibat peningkatan harga bahan api menyusuli krisis di Asia Barat.
Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat pembelian dalam keadaan panik, terutama pada perayaan Aidilfitri, bagi mengelak lonjakan harga barangan yang tidak munasabah.
Menteri kementerian tersebut, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah ini termasuk memastikan rantaian bekalan barangan utama sentiasa stabil walaupun terdapat kebimbangan berkaitan faktor cuaca dan perkembangan konflik sejagat.-24/3/2026



