YANG VIRAL

Bincang impak perang Asia Barat… Anwar jumpa Prabowo dalam masa terdekat

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Jakarta, Indonesia.

Anwar berkata, ia sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat serta berkongsi isu semasa terutama persediaan kedua-dua negara dalam mendepani impak konflik di Asia Barat.

“Sewaktu panggilan telefon bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto, semalam, kami bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa, termasuk konflik Iran-Israel.

“Kami bersetuju untuk mengatur pertemuan dalam masa terdekat, termasuk cadangan saya untuk berkunjung ke Jakarta sebagai langkah memperkukuh hubungan dua hala yang sedia erat,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Menyentuh isu serantau dan antarabangsa, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, mereka bertukar pandangan mengenai konflik Iran–Israel serta kepentingan pendekatan diplomasi yang berterusan.

“Dalam hal ini, saya menyokong kesungguhan Presiden Prabowo untuk berhubung secara langsung dengan Amerika Syarikat (AS) serta Republik Islam Iran bagi mendapatkan persetujuan kepada penghentian pertempuran dengan segera.

“Malah, Malaysia akan terus menyokong dan memperkukuh usaha diplomasi Indonesia dalam meredakan konflik Iran–Israel, supaya ketegangan dapat diredakan, nyawa orang awam dilindungi, serta ruang rundingan yang bermakna dapat dibuka ke arah penyelesaian yang aman dan berkekalan,” katanya.

Lawatan kerja terakhir Anwar ke negara jiran itu berlangsung Julai tahun lalu, antara lain bagi menghadiri Rundingan Tahunan Ke-13 dengan Prabowo, yang juga sesi pertama antara kedua-dua pemimpin itu.

Kementerian Luar sebelum ini berkata, Rundingan Tahunan itu adalah mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia dan Indonesia yang bertujuan memperkukuh kerjasama strategik dan komprehensif.-24/3/2026

Berita Berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button