
MoF sekat MyKad, tarik kelayakan BUDI95 individu salah guna subsidi
Kementerian Kewangan (MoF) memandang serius penularan video memaparkan seorang wanita dan lelaki dipercayai mengisi petrol RON95 ke dalam sebuah tong besar di salah sebuah stesen minyak.
MoF menegaskan, perbuatan berkenaan jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95.
Menurut kementerian itu, siasatan mendapati individu terbabit merupakan warganegara Malaysia dan pemegang MyKad.
Sehubungan itu, MoF memaklumkan, tindakan diambil dengan menyekat kad pengenalan yang telah digunakan dalam transaksi tersebut serta pemilik kenderaan daripada terus menikmati BUDI95.
“Ini berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar dan berkesan.
“Kerajaan tidak akaan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi.
“Perkara itu penting khususnya dalam ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api,” katanya dalam kenyataan.
Mengulas lanjut, MoF menegaskan tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan bagi membendung aktiviti tidak bertanggungjawab ini.
“Kerajaan amat menghargai rakyat yang cakna dan menyalurkan aduan berhubung isu ini.
“Orang ramai dialu-alukan untuk terus menyalurkan maklumat dan membuat aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyaluran subsidi dengan menghubungi Pusat Khidmat BUDI MADANI,” katanya.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang lelaki dan seorang wanita mengisi petrol RON95 ke dalam sebuah tong besar di ruang but kereta yang dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di Mutiara Rini, Johor Bahru.
Kejadian dipercayai berlaku Sabtu lalu turut menunjukkan individu tersebut telah mengisi lebih 71 liter RON95 dengan bayaran melebihi RM230 tertera di pam minyak berkenaan.-24/3/2026



