
Perang Asia Barat: Kerajaan ubah strategi tarik pelancong ke Malaysia
Perubahan baharu strategi kempen pelancongan negara sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) akan dirangka bagi memaksimumkan kemasukan pelancong antarabangsa.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Chua Choon Hwa berkata penilaian semula strategi akan dilaksanakan susulan kelewatan penerbangan yang terjejas akibat ketegangan serantau.
“Transit di Asia Barat sekarang agak tergendala, jadi kita sedang fikirkan cara untuk mengatasi keadaan itu termasuk menggunakan lapangan terbang transit tertentu untuk mengelakkan kawasan yang terjejas dan akan menumpukan di negara seratau yang lebih selamat.” kata beliau ketika ditemui media selepas sambutan Aidilfitri yang berlangsung di Terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.
Dalam pada itu, Chua memberitahu konflik itu membuka peluang baharu kepada Malaysia untuk menarik pelancong yang menangguhkan perjalanan jarak jauh dengan memilih destinasi lebih dekat dan stabil.
Ia boleh memberi kelebihan kepada Malaysia, khususnya dalam usaha mencapai sasaran TMM 2026.
“Kadang-kadang apabila destinasi jauh tidak stabil, pelancong akan mencari pilihan yang lebih dekat. Ini boleh menjadi peluang kepada Malaysia sekiranya strategi yang dilaksanakan tepat,” katanya.
Sehubungan itu, Chua berkata strategi pelancongan akan diselaraskan, antaranya menangani gangguan transit terutamanya melibatkan penerbangan di Asia Barat, yang sebelum ini menjadi laluan penting bagi pelancong jarak jauh ke rantau Asia.-24/3/2026


