
Harga BUDI RON95 kekal RM1.99 seliter…cuma kadar dikurangkan 100 liter
Sekalipun berdepan dengan krisis tenaga global susulan konflik di Asia Barat harga RON95 yang disubsidi kerajaan dibawah BUDI95 kekal pada harga RM1.99 seliter.
Namun kadar pengunaan bahan api itu dikurangkan 100 liter dari 300 sebulan kepada 200 liter mulai 1 April ini.
Langkah terbaru kerajaan itu diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim petang Khamis.
Beliau menjelaskan langkah itu adalah sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih.
Beliau berkata penyelarasan berkenaan tidak menjejaskan sebahagian besar pengguna memandangkan data menunjukkan majoriti rakyat menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan.
“Kita (sudah) meneliti apakah penggunaan BUDI95 ini mencukupi. Kita dapati, purata penggunaan BUDI95 adalah sekitar 100 liter, maknanya majoriti rakyat guna hanya 100 liter sebulan dan hampir 90 peratus rakyat menggunakan kurang dari 200 liter sebulan, maka tidak terjejas.
“Oleh itu, kerajaan akan membuat penyelarasan kelayakan BUDI95 daripada 300 liter sebulan kepada 200 liter sebulan bermula 1 April 2026.
“Langkah ini tentunya sementara menunggu keadaan minyak, bekalan minyak dan ekonomi dunia pulih, tetapi belum ada tanda-tanda ke arah itu,” katanya.
Menurut Perdana Menteri selain BUDI95 kekal pada harga RM1.99 seliter had siling bagi e-hailing dan pekerja gig sehingga 800 liter turut dikekalkan.
“Maka untuk meringankkan beban rakyat, saya tegaskan BUDI95 kekal pada RM1.99 seliter.
“Kita turut kekalkan had siling sehingga 800 liter (bagi pekerja gig dan e-hailing) mengambil kira tanggungjawab mereka, pekerjaan mereka, dan urusan yang mereka harus lakukan,” katanya. – 26/3/2026



