“Komitmen daripada Jemaah Menteri khususnya Perdana Menteri ialah, setelah kedua-dua aspek siasatan selesai, memang akan diumumkan. Itu komitmen daripada Perdana Menteri.
Hal itu dinyatakan oleh Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil pada Rabu mengenai hasil siasatan terhadap isu pegangan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki serta dakwaan kewujudan ‘mafia korporat’ dalam suruhanjaya itu.
Dalam sidang media mingguan beliau beri jaminan hasil siasatan berkenaan akan didedahkan kepada umum apabila tiba masanya.
Fahmi menjelaskan langkah itu akan dibuat selepas semua aspek siasatan selesai dilakukan dan ia perlu menunggu maklum balas daripada Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
“Kita perlu pastikan siasatan berkenaan selesai sepenuhnya sebelum apa-apa tindakan lanjut berkait pemakluman hasil siasatan terhadap pegangan saham Tan Sri Ketua Pesuruhjaya SPRM boleh didedahkan.
“Bagaimanapun ia terserah kepada Jemaah Menteri, sekiranya bila-bila masa, kita rasakan sudah cukup proses siasatan itu, maka itu terserah kepada Jemaah Menteri untuk dedahkan,
Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, Shamsul Azri juga sudah beberapa kali memaklumkan terdapat proses yang perlu dipatuhi, sebelum sebarang pengumuman dibuat.
Rentetan itu, Fahmi berkata, pihaknya menyerahkan kepada Shamsul Azri untuk memastikan semua proses berkenaan dituruti.
Pada Selasa, Shamsul Azri dalam satu kenyataan menafikan dakwaan media antarabangsa yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Azam Baki.
Shamsul Azri berkata, Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap agensi media itu susulan dakwaan berkenaan.-1/4/2026
Kerajaan nafi dakwaan PM arah tangguh dedah hasil siasatan pemilikan saham Azam Baki…
“Prosiding ini mempunyai proses dan tatacara yang perlu dipatuhi. Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.”
Itu kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menafikan dakwaan Bloomberg semalam menuduh kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Dalam dalam satu kenyataan hari ini beliau juga berkata selaras dengan pembentangan Jawatankuasa Siasatan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu, prosiding sudah dimulakan di bawah Peraturan-Peraturan Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
“Kerajaan menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Bloomberg pada 30 Mac lalu berkaitan tuduhan bahawa Perdana Menteri meminta jawatankuasa khas menangguhkan pendedahan hasil siasatan pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki,” katanya.
Menurut beliau Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya terhadap media berkenaan terkait dakwaan yang dibuatnya.
Jawatankuasa khas siasatan yang diketuai Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dibentuk susulan laporan mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
pada 11 Mac lalu Kabinet menerima dan membincangkan dapatan siasatan jawatankuasa itu tetapi tidak mendedahkannya setakat ini.
Laporan Bloomberg memetik sumber tidak dinamakan yang mendakwa Anwar meminta “orang penting” dalam siasatan untuk menangguhkan pendedahan tersebut.
Penangguhan tersebut didakwa bertujuan untuk membolehkan agensi penguatkuasaan undang-undang menyelesaikan siasatan berasingan terhadap dakwaan skandal “mafia korporat” yang membabitkan SPRM, dan untuk menyemak semula perkara itu dalam kabinet.
Bloomberg juga mendakwa bahawa Anwar merancang untuk membiarkan Azam berundur selepas kontraknya tamat pada Mei ini.
Tempoh khidmat Azam sebelum ini dilanjutkan sebanyak tiga kali.- 31/3/2026

